GOBIND (tengah) bergambar bersama (dari kiri) Pengurus Besar Beijing Yaoying Movie Distribution Co Ltd, Xu Xun Bing, Burhanuddin, Pengarah Les'Copaque Ltd HK, Yoong Xin Xuan dan Hans pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman untuk tayangan filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal ke China. FOTO Khairul Azhar Ahmad
GOBIND (tengah) bergambar bersama (dari kiri) Pengurus Besar Beijing Yaoying Movie Distribution Co Ltd, Xu Xun Bing, Burhanuddin, Pengarah Les'Copaque Ltd HK, Yoong Xin Xuan dan Hans pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman untuk tayangan filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal ke China. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Syafil Syazwan Jefri


LES' Copaque Production Sdn Bhd (Les' Copaque) menempa satu lagi kejayaan apabila filem terbaru terbitannya, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bakal ditayangkan di lebih 10,000 pawagam di China, tidak lama lagi.

Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, Cultural Investment Holding Co Ltd (China) selaku rakan strategik untuk mengedar filem itu ke China akan menanggung kesemua perbelanjaan untuk pemasaran dan promosi.

"Mereka akan keluarkan perbelanjaan sebanyak RMB10 juta (RM6.18 juta) untuk rangka promosi dan pemasaran filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal di China.

"Selepas ini, proses alih suara akan dilakukan dan berkemungkinan, filem ini akan mula ditayangkan di lebih 10,000 pawagam seluruh China menjelang Jun atau Julai ini," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia berharap filem itu diterima baik di sana.

"Harapan saya, semoga filem ini diterima baik di China dan sekiranya berhasil, insya-Allah, kita akan membawa masuk siri animasi ini pula ke sana," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Cultural Investment Holding Co Ltd (China), Zhai Ai Hong berkata, penerimaan rakyat China terhadap filem dari luar negara semakin bertambah dan filem animasi itu memiliki kekuatan dari segi nilai moral yang positif.

"Filem dari luar mula diterima dengan baik antaranya dari Malaysia, Thailand dan India. Selepas menonton filem ini, kami dapat lihat teknik animasi yang digunakan berada di tahap cemerlang selain jalan cerita yang lancar dan mudah difahami.

"Satu lagi perkara menarik perhatian kami adalah nilai moral yang dipaparkan dan tentunya ada mesej positif buat penonton," katanya.

Menurutnya, mereka akan menggunakan artis Malaysia yang terkenal di China untuk menjadi sebahagian daripada promosi.

"Kami ada beberapa nama artis Malaysia yang popular di China. Jadi, kami akan pilih artis yang sesuai untuk dibawa bersama dalam rangka promosi untuk filem ini," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang turut hadir menyaksikan sesi menandatangani persetujuan antara Les' Copaque dengan Cultural Investment Holding Co Ltd (China) sebagai rakan strategi bersama berkata, kerjasama itu bukti bahawa industri perfileman animasi tempatan sudah berada di tahap membanggakan.

"Menerusi perjanjian ini, kita dapat lihat kemampuan industri perfileman animasi kita yang sudah boleh melangkah jauh.

"Saya berharap, selepas ini akan ada lebih banyak lagi syarikat produksi yang melakukan inisiatif sebegini di masa akan datang," katanya.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Malaysia (MDEC), Surina Shukri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 7:04 PM