SEARCH ketika era paling gemilang mereka.

Tahun ini genaplah 30 tahun usia album Fenomena daripada kumpulan rock legenda tanah air, Search.

Fenomena yang juga album keempat Search mula dipasarkan pada 27 Februari 1989 bukan saja diangkat sebagai album terbaik Search, tetapi juga antara album rock terbaik dalam industri muzik tanah air.

Bukan saja lagu Isabella ciptaan Search dan lirik oleh Bob Lokman menjadi pencetus kejayaan album ini, tetapi semua lagu iaitu Fenomena, Purnama, Derap Komando, Ku Taklukkan Dunia, Menara Kesesatan, Bencana, Pawana, Songsang dan Gadis Misteri dihafal setiap peminat setia Search.

Ia bukan sekadar ‘killer song’, tetapi adalah ‘killer album’! Seperti juga judulnya, Fenomena tidak hanya menjadi fenomena di sini, tetapi hingga ke Indonesia.

Di Malaysia, ia dijual lebih 250,000 unit manakala di Indonesia jualannya mencecah dua juta unit!

Namun, penghasilan Fenomena yang menerima sentuhan Datuk M Nasir selaku penerbit bukanlah mudah. Mereka terpaksa melalui satu hikayat penuh ranjau sebelum betul-betul menjadi fenomena.

Ketika album ini dirakam di Jakarta pada penghujung 1987, Search dianggotai Amy (penyanyi), Yazit (dram), Nasir (bass), Din (gitar) dan Hillary Ang (gitar).

Bagaimanapun, Hillary keluar dari Search sebaik mereka pulang ke Kuala Lumpur dan digantikan Kid dari kumpulan Gersang.

Berikut antara kisah menarik yang dilalui Search sebelum kejayaan Fenomena seperti yang diceritakan mereka kepada penulis.


KULIT album Fenomena yang berada di pasaran pada 27 Februari 1989.

Studio di Jakarta hanya ‘propa’

Proses rakaman bermula di Studio Gins, Jakarta pada penghujung 1987.

Search ‘tertipu’ dengan kemudahan di studio berkenaan yang dikatakan lebih canggih. Namun, hakikatnya studio rakaman di Kuala Lumpur lebih baik.

“Jurutera rakaman studio itu tak faham apa yang kami mahu. Kami cakap lain, dia cakap lain! Memang pening!” kata Din.

Menurut M Nasir, ketika itu muzik rock belum meluas di Indonesia yang popular dengan lagu dangdut, jazz dan pop.

“Jadi, apabila mereka nak merakam album rock memang ada masalah kerana mereka tak ada pengalaman,” katanya.

Amy berkata, sepanjang sesi rakaman di sana, mereka gagal menghasilkan ‘killer song’. Jadi, sesi mencipta lagu bersama M Nasir tidak seperti yang diharapkan hingga mendatangkan tekanan.


GAYA Amy dalam satu konsert Search di Johor Bahru ketika mempromosikan album Fenomena.

Hikmah album ‘terperam’

Selepas siap dirakam, album terbitan Go Search Sdn Bhd dan edaran PMC itu tidak dapat dipasarkan apabila mahkamah membenarkan permohonan injuksi daripada syarikat rakaman Polygram untuk menghalang penjualan album itu.

Search yang sebelum itu bersama Polygram didakwa melanggar kontrak rakaman apabila menyertai PMC.

Bagaimanapun, selepas lebih setahun ‘terperam’, ia akhirnya dapat dipasarkan apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan permohonan injuksi Polygram pada 19 Januari 1989.

Bagi Amy, faktor ‘terperam’ itulah yang membuatkan Fenomena laris.

“Selepas album ketiga, Mentari Merah Di Ufuk Timur pada 1987, peminat ternanti-nanti album terbaru Search. Jadi, ia keluar pada masa dan ketikanya,” katanya.

Album ini juga berjaya menembusi pasaran Indonesia dan mula dijual di sana pada 19 September 1989.

Menurut Amy, pihak PT Musica Studio yang mengedarkan album berkenaan di sana pada mulanya tidak yakin dengan penjualannya.

“Mereka hanya sasarkan jualan sebanyak 40,000 unit, tapi saya yakin ia boleh meletup. Akhirnya jangkaan saya tepat apabila selepas seminggu dipasarkan, mereka menghubungi PMC mengatakan stok album itu sudah habis dijual.

“Dalam masa sebulan, jualannya mencecah 400,000 unit, malah mencecah 50,000 unit sehari!” katanya.


DIIKTIRAF sebagai band rock nombor satu tanah air.

Terciptanya Isabella

Lagu berhantu Isabella adalah lagu terakhir dirakamkan. Ia dirakam di Studio King, Petaling Jaya selepas album Fenomena yang dirakam di Jakarta tidak dapat disiapkan sepenuhnya.

Yazit berkata, sebelum itu mereka menyewa studio milik pemuzik, Man Senoi dalam usaha mencari ‘killer song’ yang tidak muncul-muncul itu.

“Waktu itu sudah jam 5 pagi, idea masih tidak muncul. Nasir yang berbaring dengan gitar bass di atas perutnya tiba-tiba memainkan ‘bassline’ yang membuatkan semua orang tersentak.

“M Nasir meminta Nasir memainkannya semula. Kami mula merasakan ia ada ‘sesuatu’. Dari situlah bermulanya Isabella. Ia siap dirakam dalam masa tiga hari,” katanya.

Bukan saja melodi dan liriknya, solo gitar yang dimainkan Kid juga diiktiraf peminat sebagai antara solo gitar terbaik pernah dihasilkan.

Kid ketika itu baru menyertai Search dan hanya berusia 19 tahun.

Menurut Kid, selepas dia merakamkan bahagian gitar lagu itu, M Nasir memintanya menghasilkan solo gitar dengan arahan yang sukar difahaminya.

“Dia mahu saya hasilkan solo gitar seperti untuk lagu lain. Maksudnya saya perlu ‘keluar’ dari lagu itu. Macam mana tu? Banyak kali saya buat, tapi kena marah. Dia tak puas hati.

“Akhirnya saya berjaya hasilkan solo gitar sebagaimana yang anda dengar hari ini. Saya tak tahu bagaimana saya lakukan kerana ia datang secara tiba-tiba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 10:00 AM