IZARA Aishah. FOTO Saddam Yusof
Ramlah Zainal


“KAMI masih dalam fasa berbulan madu lagi. Malah, sejak berkahwin kami belum dapat pergi bercuti bersama walaupun merancangnya hampir setiap bulan. Semuanya disebabkan saya sibuk dengan penggambaran,” kata pelakon popular Izara Aishah, 26, ketika ditanya perancangan untuk memiliki cahaya mata bersama suaminya, Adib Khalid ketika ini.

Izara berkata, mereka juga tidak merancang untuk memperoleh anak cepat atau lambat.

“Jika ada rezeki datang lebih awal, kami akan terima. Saya juga meminta nasihat ibu dalam soal anak. Menurut ibu, ini adalah saat untuk kami meluangkan lebih banyak masa berdua sebagai suami isteri sebelum membina keluarga,” katanya.

Menurut pelakon drama bersiri 100 episod Jodoh-Jodoh Anisa ini, rumah tangganya bersama suami juga bahagia selepas lebih setahun berkahwin.

“Alhamdulillah, kami adalah pasangan yang saling mencintai antara satu sama lain,” katanya.

Ditanya sama ada dia berasa tertekan setiap kali diajukan soal anak selepas berkahwin, Izara menafikannya. “Saya tidak marah. Ia perkara biasa bagi pasangan berkahwin. Pada masa sama, usia saya pun masih muda lagi dan tiada masalah untuk mendapatkan anak. Allah adalah perancang yang terbaik dan ia akan berlaku apabila tiba masanya,” katanya.

Izara berkahwin dengan Adib yang juga anak tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 17 November 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 3:18 PM