LAGU Di Matamu nyanyian Sufian Suhaimi menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Syafil Syazwan Jefri


LAGU Di Matamu nyanyian Sufian Suhaimi menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai video muzik tontonan paling tinggi iaitu 56 juta tontonan di YouTube bagi kategori lagu Melayu dan artis tempatan.

Pencapaian Sufian itu turut memecahkan rekod Aiman Tino menerusi lagu Ku Rela Dibenci dengan jumlah 43 juta tontonan.

“Syukur atas pengiktirafan ini. Terima kasih kepada sahabat, Sirkhan dan Rinkarnaen yang berhempas pulas mencipta lagu sedih Di Matamu yang cukup dekat dengan pendengar muzik Malaysia,” katanya menerusi Instagram.

Penyanyi berusia 27 tahun itu juga bersyukur kepada Allah yang memberikan kejayaan itu juga memberinya satu rasa bahagia.

“Sesungguhnya Allah itu maha adil. Adil meletakkan kebahagiaan dalam bentuk berbeza dan tak disangka. “Buat keluarga, sahabat, peminat dan semua yang mengenali saya, semoga kebaikan kalian dibalas dengan kebaikan,” katanya.

Sufian juga memaklumkan pihaknya akan mengadakan satu sidang media untuk berkongsi mengenai berita baik ini, Khamis ini.

Februari lalu, Sufian memenangi Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) menerusi lagu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 5:57 PM