PERSEMBAHAN Artis Tari Nada Budaya yang menyampaikan lagu Sinaran, Datuk Sheila Majid. FOTO: Amirudin Sahib
Ramlah Zainal


PENGANJURAN Konsert Amal Legenda 80-an bersama Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru, ini berjaya mengimbau zaman kegemilangan penyanyi popular era 1980-an di pentas satu ketika dulu.

Konsert anjuran Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Istana Budaya itu menampilkan barisan penyanyi seperti Datuk Nassier Wahab, Datuk Malek Ridzuan, Datuk Nash, Ibnor Riza, Shidee, Razis Ismail, Zaiton Sameon, Rohana Jalil, Nor Shila Amin, Zamree, Zur Eda, Siti Fairuz, Klthsom Kader, Salwa Abd Rahman dan Azizul Khamis.

Ia menggandingkan Angeline Tan, Abon dan Ramasundran selaku pengacara. Pada sesi pratonton konsert bersama media baru-baru ini, penyanyi dan pengarah persembahan, Ibnor Riza mengakui bukan mudah untuk mengumpulkan semua artis legenda 1980-an itu dalam satu konsert.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani kerana beri peluang kepada artis 80-an untuk buat konsert di pentas Istana Budaya.

“Saya juga berbincang dengan rakan artis seperjuangan seperti Malek Ridzuan dan Nash. Mereka juga memberi sokongan atas dasar persahabatan. Konsert ini juga dapat direalisasikan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih,” katanya.

Menurut Ibnor, selain berhibur, konsert itu juga dianjurkan atas nama kebajikan. “Objektif konsert ini untuk mengumpul dana kepada rakan artis yang disenaraikan sebagai penerima bantuan Tabung Cahaya Qasih,” katanya.


AFDLIN dan Sheila turut berduet.

Rangkaian lagu hits era-80an

Tirai persembahan pada malam itu dimulakan dengan persembahan Klthsom dengan dua lagu hitnya Ku Meraguimu dan Ku Redha Sendiri.

Persembahan diteruskan dengan penampilan Azizul Khamis dengan lagu popularnya Kasih dari album pertamanya yang dirakamkan pada 1985 serta lagu ciptaannya sendiri berjudul Namamu Dihatiku yang berentak reggae.

Norshila Amin pula menghiburkan penonton dengan dua lagu yang pernah menaikkan namanya dulu iaitu Kad Ucapanmu dan Aku Sudah Jatuh Hati.

Ia diteruskan dengan Salwa Abd Rahman dengan lagu Cubit-Cubit Sayang dan Satu, Dua, Kau. Sekian lama menyepi, Malek Ridzuan tampil menghiburkan penonton dengan lagunya Kelip-Kelip Kusangka Api dan Sampai Di Sini.


PERSEMBAHAN Afdlin yang mencuit hati bergandingan bersama Zainal.

Zamree pula menyampaikan lagu ciptaan Ibnor Riza berjudul Sendiri Kesepian dan lagu ciptaannya sendiri Tugu Cinta. Kemunculan Siti Fairuz dinantikan penonton menerusi lagu popularnya, Usah Bertanya Lagi dan Bila Rindu Ku Sebut Namamu.

Ibnor turut menyampaikan dua lagu popularnya iaitu Meneka Dalam Kesamaran dan Sudah Terluka Merindu Pula.

Penyanyi yang mendapat jolokan “Sade Malaysia” Zur Eda turut menyampaikan dua lagu termasuk lagu popularnya berjudul Pelitaku.


PERSEMBAHAN Sheila memukau penonton.

Penyanyi awet muda Nassier Wahab juga tampil lincah dan bertenaga ketika menyampaikan dua lagu popularnya iaitu Sekali Aku Jatuh Cinta dan Gadis Bermata Biru.

Tidak ketinggalan, persembahan dari Artis Tari Nada Budaya yang menyampaikan tiga lagu termasuk Hore-Hore yang dipopularkan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan Sinaran, Datuk Sheila Majid.

Acara pada malam itu diakhiri dengan persembahan daripada semua artis terbabit yang menyampaikan lagu Fantasia Bulan Madu yang pernah dipopularkan Search.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 4:30 AM