AISHAH, Nora kongsi pentas persembahan sempena Minggu Setiausaha bersama peniup saksofon, Alif Nasir. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
AISHAH, Nora kongsi pentas persembahan sempena Minggu Setiausaha bersama peniup saksofon, Alif Nasir. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
Ridzuan Abdul Rahman


SAMBUTAN Minggu Setiausaha hotel Palace of the Golden Horses di Mines, Seri Kembangan yang akan berlangsung di Royal Ballroom esok menggandingkan dua nama besar iaitu Aishah Ariffin dan Nora Ariffin serta peniup saksofon muda yang berbakat besar, Alif Nasir.

Buat julung kalinya, penganjur Mareepoosa Creative and Event memilih menggandingkan mereka untuk persembahan berkonsepkan makan tengah hari ini.

Nora, 45, ketika ditemui berkata, dia bangga dan teruja dapat berkongsi pentas dengan Aishah dan Alif.

“Persembahan yang akan ditampilkan memang menarik kerana gandingan kami ini hanya khusus untuk Minggu Setiausaha. Kalau orang labelkan saya sebagai penyanyi senior, kak Aishah lagi senior dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang seni.

“Kami jarang digandingkan bersama kerana kalau kita tengok mana-mana program pun, kebanyakannya menampilkan artis baru,” katanya.

Nora berkata, bukan bermaksud mereka tidak lagi relevan dalam pasaran, tetapi kedua-duanya mempunyai aktiviti seni yang tidak dikongsikan dengan peminat.

“Sudah tentu saya gembira untuk berkongsi satu pentas dengan idola saya untuk menghiburkan peminat yang hadir. Tak dinafikan kami selalu berjumpa dalam acara hiburan tapi tak pernah berkongsi pentas begini. Itulah sebabnya saya kata persembahan ini sangat istimewa.

“Kadang-kadang orang tanya saya, bila kami nak buat show bersama. Jadi inilah kesempatan terbaik buat mereka datang menikmati persembahan kami,” katanya.

Nora diberikan slot selama 30 minit untuk beraksi dan dia berjanji akan menampilkan persembahan yang mampu memenuhi cita rasa semua yang hadir.

“Apa yang penting ialah peminat bukan sekadar tengok kami menyanyi macam dalam televisyen, sebaliknya kami akan membuktikan kami ialah penghibur dan bukannya hanya boleh menyanyi semata-mata. Ketika mula-mula menyanyi dulu, saya berminat tengok persembahan Anita Sarawak kerana nak belajar dengannya.

“Saya berani menjanjikan banyak perkara istimewa akan berlaku dalam persembahan kami dan berharap peminat hadir menonton,” katanya.

NORA, Aishah tampil dengan lagu-lagu sendiri serta lagu ‘cover version’ popular yang diminati ramai.
NORA, Aishah tampil dengan lagu-lagu sendiri serta lagu ‘cover version’ popular yang diminati ramai.

Aishah gembira masih jadi pilihan

Aishah, 54, gembira kerana masih menjadi pilihan dan kepercayaan penganjur untuk beraksi dalam persembahan sempena Minggu Setiausaha.

“Tahun lalu saya beraksi untuk Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara. Alhamdulillah, tahun ini saya masih jadi pilihan penganjur. Selalunya artis senior seperti kami seperti orang terlepas pandang.

“Saya teruja dan anggap ini satu cabaran kerana perlu fikirkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Aishah optimis peminat yang hadir akan terhibur dengan apa yang disajikan buat mereka. Kami bekerja sebagai satu pasukan untuk menjayakan persembahan ini. Semua yang terbabit sangat bagus.

“Saya dan Nora sentiasa cari idea terbaik untuk persembahan ini. Kami kena tampil dengan idea segar untuk kekal relevan dalam seni. Kami kena ambil tahu cita rasa peminat sekarang,” katanya.

Persembahan mereka nanti menampilkan lagu-lagu sendiri serta lagu ‘cover version’ popular yang diminati ramai.

“Kami kena juga tahu jenis golongan peminat yang hadir. Lainlah jika konsert Aishah, bolehlah saya menyanyikan semua lagu sendiri. Ini adalah persembahan untuk setiausaha yang diraikan dan kita kenalah tengok demografi mereka bagaimana.

“Kalau perlu lebihkan lagu bukan Melayu, kenalah saya buat. Saya sentiasa ambil berat perkara ini,” katanya.

Manakala Alif, 37, pula adalah peniup saksofon yang sering dijemput sebagai pemuzik undangan mana-mana kumpulan yang memerlukan khidmatnya.

“Penganjur jemput saya terbabit dalam program ini dan saya terkejut serta teruja dapat bergandingan dengan Aishah dan Nora. Saya akan tampil membuka pentas dan menyampaikan sekitar lima lagu. Gandingan saya dengan mereka pula adalah menerusi segmen tribute buat Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan Allahyarham Johan Nawawi.

“Saya akan meniup saksofon mengiringi persembahan mereka. Susunan lagu-lagu ini dibuat oleh Azlan Abu Hassan,” katanya.

Penjualan meja untuk 10 orang dibahagikan kepada empat kategori iaitu Sapphire (RM6,000), Ruby (RM5,000), Emerald (RM4,000) dan Amethyst (RM3,000).

Harga untuk kerusi individu juga disediakan. Sebanyak 10 peratus penjualan meja akan disalurkan kepada tabung National Diabetes Institute (NADI) iaitu sebuah badan bukan berkeuntungan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu kos perubatan kanak-kanak dalam negara yang menghidap Diabetes Type-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 5:00 AM