AIMAN menunjukkan laporan polis yang dibuat malam tadi berhubung penyebaran video separuh bogel yang dikatakan miripnya tular di media sosial.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI Aiman Tino, 21, membuat laporan polis malam tadi berhubung penyebaran video separuh bogel yang dikatakan miripnya tular di media sosial sejak hujung minggu lalu.

Aiman atau nama sebenarnya Mohamad Aiman Yusri ketika dihubungi berkata, tindakan itu diambil untuk membersihkan namanya dan keluarga yang turut terkena tempias selepas video itu disebarkan individu tidak bertanggungjawab.

"Saya serius mengenai perkara ini. Kepada individu yang menyebarkan video itu, kita jumpa di mahkamah," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kuala Kubu Bharu, Selangor jam 11.52 malam tadi.

Menurut Aiman, selepas ini dia akan lebih berhati-hati dalam banyak perkara kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi.

"Tindakan ini diambil sebagai pengajaran kepada pelaku supaya tidak mengulanginya lagi. Kalau dia berniat untuk melakukan perkara sama kepada rakan-rakan artis yang lain, ingat dia sedang diburu. Saya akan lebih berhati-hati dari semua sudut dan semua perkara," katanya.

Aiman juga menasihati rakan-rakan artis supaya sentiasa berjaga-jaga dengan orang di sekeliling.

Hujung minggu lalu, video seorang lelaki yang dikatakan mirip penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu tersebar di laman Twitter, menayangkan beberapa aksi separuh bogel.

Video berdurasi 54 saat itu dikaitkan dengan Aiman kerana baju yang dipakai lelaki miripnya itu sama seperti baju pernah dipakai Aiman sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 9:48 AM