X
DAYANG Nurfaizah. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
DAYANG Nurfaizah. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Ramlah Zainal


“SAYA simpati dan faham sangat dengan situasi yang berlaku pada persembahan Misha dan Hael yang berdepan dengan masalah teknikal pada malam itu.

“Bukannya mereka sengaja mahu melakukan kesalahan itu, tapi perkara tidak dijangka seperti itu boleh berlaku apatah lagi di pentas yang besar,” kata penyanyi popular Dayang Nurfaizah mengenai kritikan dan kecaman netizen terhadap persembahan duet Misha Omar dan Hael Husaini menerusi lagu Rewrite The Star di Anugerah MeleTOP Era2019 (AME2019), Ahad lalu.

Rata-rata mendakwa gandingan Misha dan Hael kurang serasi ketika menyampaikan lagu Inggeris itu.

Menurut Dayang, 38, tidak ada mana-mana penyanyi pun sengaja mahu melakukan kesalahan dalam persembahan mereka.

Dayang berkata, adalah tidak adil untuk netizen mengecam dan menghukum Hael dan Misha tanpa mengetahui situasi sebenar.

MISHA Omar dan Hael Husaini menerusi lagu Rewrite The Star di Anugerah MeleTOP Era2019.
MISHA Omar dan Hael Husaini menerusi lagu Rewrite The Star di Anugerah MeleTOP Era2019.

“Ia sangat tidak adil apabila netizen mengecam dan menghukum Hael dan Misha tanpa mengetahui apa yang sebenarnya berlaku serta masalah dihadapi di atas pentas ketika persembahan itu,” katanya.

Dayang bekata, dia juga pernah berdepan masalah teknikal ketika membuat persembahan sebelum ini.

“Sebagai penyanyi, pasti kita mahu berikan persembahan yang terbaik untuk peminat namun kadang-kadang tidak semua perkara yang kita mahu lakukan boleh jadi sempurna,” katanya.

Ditanya sama ada dia mahu berduet lagi dengan Hael, kata Dayang, dia tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan penyanyi dan komposer berbakat itu pada masa depan.

“Saya memang ada keserasian berduet dengan Hael dalam lagu menerusi gandingan duet kami sebelum ini. Selepas berduet menerusi lagu Haram, buat masa ini belum ada perancangan untuk buat lagu duet lagi dengan Hael,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 1:06 PM