AWIE harap kerajaan mampu membantu tingkatkan industri tempatan. -Foto fail
AWIE harap kerajaan mampu membantu tingkatkan industri tempatan. -Foto fail
Ridzuan Abdul Rahman


“SAYA bercakap perkara ini demi rakyat, bangsa dan budaya kita.

“Apa faedahnya RM4.2 juta dihabiskan untuk bawa Kpop masuk ke sini?” kata Datuk Awie apabila diminta mengulas kritikannya terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kritikan keras penyanyi kumpulan Wings itu dilaman sosialnya, Awie Pamalo turut viral dengan mendapat perkongsian netizen serta menerima sokongan daripada pelbagai pihak.

Awie, 51, berkata, pada era mereka, isu besar yang dibangkitkan ialah rambut panjang tetapi kini pihak berwajib seakan tutup mata terhadap peraturan itu.

“Sekarang tak kira rambut hijau, kuning, merah semua ada. Budaya apa sebenarnya yang nak dibawa masuk?

“Kita yang duduk di depan menonton persembahan mereka tak faham sepatah haram nyanyian mereka.

“Apa pengajaran yang kita dapat daripada Kpop?” katanya dalam nada tegas.

Awie turut mempertikaikan relevan persembahan itu dengan kempen Tahun Melawat Malaysia, sedangkan yang menyanyi ialah artis Korea.

“Orang luar yang datang tentu pelik apabila tengok artis Korea yang menyanyi.

“Agaknya artis Malaysia bodoh sangat sehingga tak tahu apa-apa sedangkan kita ada pelbagai genre dalam Malaysia.

“Kalau tak suka dengar rock, boleh ambil artis pop, balada, nasyid dan apa sahaja genre lain. Ini tidak, kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” katanya.

Dia turut mempertikai kenyataan kerajaan berkenaan ekonomi negara yang dikatakan teruk tetapi sanggup berbelanja besar untuk perkara tidak berfaedah.

“Cuba bagi duit itu kepada anak bangsa kita. Artis Malaysia yang semakin berusia nak dibiarkan mati begitu saja.

“Berilah peluang kepada artis lama contohnya kumpulan Wings atau Search yang masih relevan dalam industri seni tanahair,” katanya.

Menurut Awie, Wings pernah mengadakan persembahan sempena Hari Belia dengan kerajaan terdahulu dan terpaksa bersaing dengan kumpulan Kpop.

“Apabila Wings masuk, kami berjaya kumpul dua juta penonton. Di atas pentas itu juga saya kritik kerajaan kerana buang duit merata-rata.

“Kita masih relevan tapi mereka mahu matikan. Bangga sangat dengan Kpop dan tiada langsung tunjukkan semangat nasionalisme, budaya atau berbangga dengan bangsa sendiri.

“Bangsa lain ditatang dan dilambung. Cubalah buat sesuatu yang boleh bantu industri. Tolong tingkatkan industri kita,” katanya.

Awie berkata, Malaysia mempunyai penyanyi dan pemuzik bertaraf dunia namun malangnya tiada platform ke arah itu kerana tiada bantuan daripada kerajaan.

Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) meminta Syed Saddiq dan Perbadanan Stadium Malaysia mempertimbangkan semula cadangan membawa masuk kumpulan BTS ke Malaysia.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, idea itu tidak membawa apa-apa kebaikan kepada industri hiburan negara ini.

“Seniman berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) menumpukan perhatian kepada artis, penyanyi, pelakon, pelawak, pemuzik serta warga Industri Kreatif keseluruhannya agar berjaya menjana pendapatan yang mampu membantu meningkatkan KDNK negara dan secara tak langsung para pemain industri ini mendapat pekerjaan dalam negara sendiri.

“Kami juga berharap agar Kerajaan Pakatan Harapan dapat menumpukan perhatian terhadap masalah membabitkan harta intelek barisan pelakon dan perumahan yang sekian lama tidak dapat diselesaikan.

“Apa yang penting sekarang adalah mewujudkan akta industri kreatif agar para penggiat industri ini lebih terjamin di masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 6:45 PM