ZAMANI harap peminat bersatu dan tidak bergaduh. -Foto  MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
ZAMANI harap peminat bersatu dan tidak bergaduh. -Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Zamani Ibrahim mengakui jumlah kelab peminatnya semakin bertambah sejak menyertai program Gegar Vaganza 5.

“Alhamdulillah, bagi saya ia satu perkembangan yang baik. Saya berterima kasih dengan usaha mereka.

“Sebenarnya kelab peminat ini bukan di bawah kendalian saya secara rasmi. Mereka buat untuk sokong saya tetapi saya tiada apa-apa jawatan dalam kelab itu.

“Kalau mereka menganjurkan acara dan mengundang saya, pasti saya akan pergi,” katanya kepada Harian Metro.

Zamani, 48, bagaimanapun tidak mahu ada unsur negatif diterapkan dalam kelab peminat terbabit yang berpotensi mengundang pecah belah.

“Saya cuma minta jasa baik semua agar bersatu dan paling penting janganlah sampai ada yang tidak puas hati. Matlamat kelab ini ditubuhkan adalah untuk menyokong kerjaya seni saya dan pastinya saya sangat berterima kasih.

“Andai ada masalah, selesaikan secara baik,” katanya.

Zamani turut mencadangkan agar jawatan tertinggi dalam kelab peminat itu disandang secara bergilir bagi mengelakkan rasa tidak puas hati.

“Mungkin boleh digantikan setahun sekali dan ia lebih adil.

“Apabila kelab peminat buat program, saya akan beri kerjasama. Kalau tak dapat hadir pun sekali dua sahaja sebab masalah teknikal.

“Saya akan terus menyokong kelab peminat tetapi jika ada segelintir pihak tubuhkan kelab untuk jumpa saya setiap hari, itu memang tidak bagus,” katanya.

Zamani berkata, dia menyokong usaha peminat sekiranya ada program dijalankan tetapi bukan untuk kepentingan peribadi.

“Saya tak tahu apa tujuan mereka. Apapun saya doakan mereka dapat selesaikan masalah ini dengan baik.

“Mudah-mudahan terus sokong saya. Kita hidup aman damai tak nak kecoh-kecoh. Kalau boleh janganlah bergaduh duhai peminat.

“Kalau boleh memadailah hanya ada satu kelab peminat saya yang besar dan yang lain hanya jadi sampingan. Saya sayang semuanya dan akan melayan baik tanpa ada unsur pilih kasih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 5:19 PM