GAMBAR tular Aiman Tino mengenakan bayaran untuk swafoto bersamanya.
Syafil Syazwan Jefri


"ITU sebenarnya sesi beramah mesra dan bukannya swafoto berbayar,".

Itu jawapan yang diberikan oleh penyanyi, Aiman Tino ketika diminta mengulas mengenai penularan berita bahawa dia mengenakan bayaran kepada peminat yang ingin berswafoto dengannya di acara Pesta Lampu KB di Kota Belud, Sabah, semalam.

Menurut Aiman, 21, berlaku salah faham dalam kalangan peminat apabila penganjur acara yang menjemputnya membuat persembahan menggunakan ayat 'Tiket VVIP Berselfie Bersama Aiman Tino' dalam poster promosi di media sosial.

"Saya sendiri pun tak tahu mengenai promosi itu yang tular di media sosial. Dari situ, saya nampak berlaku salah faham.

"Penganjur sepatutnya menggunakan perkataan sesi beramah mesra atau 'meet & greet' kerana ia lebih sesuai.

"Lagi pula, saya sendiri pun tak pernah mengenakan bayaran setiap kali ada peminat yang ingin bergambar dengan saya selama ini," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, pihak penganjur juga mungkin ingin menjaga keselamatannya dengan mengehadkan jumlah peminat yang ingin berswafoto.

"Semalam, saya lihat ada beribu penonton yang menyaksikan persembahan saya. Jadi, mungkin juga pihak penganjur ingin mengehadkan jumlah peminat yang ingin bergambar.

"Jadi, selesai membuat persembahan, saya beramah mesra dengan mereka yang membeli tiket VVIP ini seramai 20 orang," katanya.

Aiman membuat persembahan dengan menyampaikan empat di acara Pesta Lampu KB berkenaan.

Selepas poster itu tular, Aiman dikecam hebat oleh warganet yang menganggap, tidak berbaloi bagi mereka membuat bayaran semata-mata untuk bergambar dengan artis.

Namun begitu, ada juga peminat yang membelanya dan menganggap itu adalah perkara biasa.

Nilai bayaran yang dikenakan tidak dinyatakan, sebaliknya peminat diminta menghubungi nombor telefon yang disertakan dalam poster promosi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 3:01 PM