IKMAL Amry dan Scha Elinnea bimbang kena kecam. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON drama bersiri Voice Note kecewa apabila diminta melakonkan babak berunsur lucah dan intim dalam drama arahan Azmi Hatta itu.

Bagaimanapun, adegan terlalu intim membabitkan dua pelakonnya iaitu Ikmal Amry dan Scha Elinnea dipotong kerana tidak melepasi proses penapisan.

Ikmal, 25, berkata, jika ada adegan intim yang keterlaluan atau melampaui batas dia cuba elakkan.

"Sebagai pelakon, saya ikut saja arahan pengarah kerana tugas saya adalah berlakon. Namun, jika sudah melampaui batas, saya kena fikir banyak kali juga," katanya.

Ikmal berkata, jika adegan itu diluluskan, dia bimbang akan menjadi mangsa kecaman netizen.

“Pastinya semua akan kena kecam. Pelakon, pengarah sehinggalah produksi. Saya jadikan ini sebagai pengajaran kerana saya nak jaga nama baik saya dan produksi juga," katanya.

Dalam pada itu, Scha berkata, dia tahu babak begitu takkan diluluskan untuk tayangan.

“Drama ini adalah untuk tayangan umum dan sudah termaktub bahawa ada adegan yang keterlaluan akan dipotong. Kalau sudah tahu ia takkan 'lepas', kenapa kita masih perlu buat juga?” katanya.

Ditanya sama ada dia tahu mengenai jalan cerita dalam skrip Voice Note, pelakon berusia 20 tahun itu berkata, dia mengetahuinya.

"Dalam skrip memang ada adegan sedemikian, tapi tidaklah spesifik seperti mana yang kami perlu buat," katanya.

Isu ini timbul selepas penerbit, Fadzil Teh meluahkan rasa kecewa dengan pengarah drama bersiri Voice Note yang mewujudkan beberapa adegan berunsur lucah dalam drama itu.

Penulis skripnya, Marr Mohamad berkata, adegan itu memang ada di dalam skrip tetapi ia bergantung kepada kreativiti pengarah untuk menterjemahkannya dalam bentuk visual.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi pengarahnya, Azmi bagi mendapatkan komen mengenai isu ini tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan mesej di aplikasi WhatsApp.

Voice Note yang ditayangkan di TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam turut menampilkan lakonan Sharifah Sakinah, Shasha Abedul, Amelia Henderson dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 1:16 PM