NOORKHIRIAH bersyukur dapat kepercayaan pengarah drama Nur dan Nur 2 untuk melakonkan watak berat seperti Aisyah. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin


PELAKON Noorkhiriah, 43, enggan mengulas dakwaan dirinya dikatakan tidak mahu memuat naik foto bersama selebriti tidak bertudung di media sosial.

Noorkhiriah berkata, tidak ada apa yang perlu diulas berhubung perkara itu dan menganggap ia sudah pun berlalu.

"Saya tak mahu komen apa-apa mengenai dakwaan itu. Saya minta maaf kerana lebih baik tidak mengulas mengenainya.

"Sekarang, saya selesa memberi fokus pada karier lakonan dan keluarga. Alhamdulillah, rezeki pun dimurahkan Allah SWT," katanya.

Noorkhiriah yang melonjak lakonannya dengan watak Aisyah dalam drama Nur dan Nur 2 berkata, dia kini merindui Aisyah.

"Impak watak Aisyah ini cukup besar dalam karier lakonan saya dan kehidupan. Ternyata, tidak ramai wanita yang tahap sabarnya setinggi Aisyah.

"Saya bersyukur mendapat kepercayaan daripada pengarah drama Nur dan Nur 2 untuk melakonkan watak berat seperti ini," katanya.

Ditanya apakah watak Aisyah akan beraksi di pentas teater nanti, Noorkhiriah berkata, belum dipastikan lagi.

Pemilik nama sebenar Noorkhiriah Ahmad Shapie memberitahu sama ada watak Aisyah wujud atau tidak, semuanya bergantung pada pihak produksi.

"Saya tak boleh nak komen apa lagi mengenai watak Aisyah dalam teater itu nanti. Masih terlalu awal dan saya tak tahu apa-apa.

"Apatah lagi, saya pun baru saja selesai menyiapkan penggambaran telefilem untuk RTM bersama pelakon Azhan Rani dan Beto Kusyairy," katanya.

Berkongsi aktivitinya sepanjang Ramadan nanti, Noorkhiriah berkata, dia akan berehat sebulan daripada jadual penggambaran dan meluangkan sepenuh masa bersama keluarga.

Dalam drama Nur 2 di TV3 itu, Noorkhiriah membintanginya bersama pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Fatimah Abu Bakar dan Azar Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 8:02 PM