MISHA termenung seharian kerana tidak percaya tiket konsert dapat dijual sepantas itu. FOTO Aziah Azmee
Rudy Imran Shamsudin


PENYANYI popular Misha Omar mencipta sejarah peribadi apabila tiket konsert solonya yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5 Ogos depan habis dijual dalam tempoh 18 jam.

Tiket konsert solo Misha itu mula dibuka jualannya pada 2 Mei lalu.

Sewaktu dihubungi hari ini, pemenang anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) itu menjelaskan perkembangan itu sangat menggembirakan dirinya.

“Pastinya sebagai penyanyi yang mempertaruhkan jualan tiket untuk pentas berskala besar apabila habis terjual membuatkan saya berasa sangat bersyukur.

“Apabila tiket habis dijual bermakna satu fasa sudah selesai. Ia cukup melegakan memandangkan selalunya seorang penyanyi yang bakal muncul dengan konsert berskala besar tertunggu-tunggu maklum balas jualan tiket macam mana,” katanya.

Misha juga memberitahu dia dan kakaknya merangkap pengurus, Mimi Omar termenung seharian kerana tidak percaya tiket konsert dapat dijual sepantas itu namun dalam waktu sama perkembangan itu sangat menggembirakan mereka.

“Alhamdulillah apabila tiket konsert habis dijual dalam masa yang singkat bermakna peminat yakin dengan saya.

“Tugas saya sekarang adalah mengisi senarai lagu yang akan dipersembahkan malam konsert,” katanya.

Dalam waktu sama Misha berkata, dia harus mengekalkan kesihatan juga stamina memandangkan kali ini akan menyanyi seorang diri.

“Sepanjang dua bulan ini sebelum tarikh konsert saya harus menggunakannya sebaik mungkin untuk membuat segala persiapan diperlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 7:00 PM