ALIF (dua dari kiri) tidak menyangka kolaborasinya bersama Raihan menyanyikan lagu Sesungguhnya 2019 mendapat sambutan menggalakkan.
ALIF (dua dari kiri) tidak menyangka kolaborasinya bersama Raihan menyanyikan lagu Sesungguhnya 2019 mendapat sambutan menggalakkan.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Alif Satar, 29, mengakui terkejut dan tidak menjangkakan sambutan hebat diterima selepas merakamkan lagu Sesungguhnya 2019 bersama kumpulan nasyid terkemuka, Raihan.

Lebih mengejutkannya, video rakaman yang dimuat naik ke YouTube sejak dua hari lalu itu kini mencecah lebih 1.2 juta tontonan.

"Saya memang suka lagu Sesungguhnya dan Raihan adalah kumpulan yang yang menjadi idola ketika zaman kanak-kanak. Bila tengok jumlah tontonan dah mencecah lebih satu juta, saya memang terkejut," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ia adalah projek 'suka-suka' yang pada awalnya untuk mengimbau kenangan zaman kanak-kanaknya, yang membesar bersama lagu Raihan.

"Saya membesar dengan lagu Raihan dan sedar tak sedar, usia lagu ini sudah 23 tahun. Jadi, ia umpama mengimbau kenangan bukan saja untuk saya, tapi juga buat semua yang mendengar," katanya.

Menurut penyanyi yang juga pelakon drama Pia itu, dia menyusun semula melodi lagu Sesungguhnya dan diberi nafas baru.

"Saya bekerjasama dengan band The Locos untuk hasilkan susunan melodi baru yang lebih segar. Tapi, kekuatan utama lagu ini adalah muziknya yang memang dicipta dengan begitu indah sekali," katanya.

Ditanya sama ada dia merancang untuk berkolaborasi lagi bersama Raihan di masa depan, Alif tidak menolak.

"Kalau ada peluang, saya tak akan lepaskan. Raihan adalah satu jenama besar dan insya-Allah, kalau ada projek kolaborasi saya akan teruskan," katanya.

Terbaru, drama Pia lakonannya bersama Zara Zya masih ditayangkan di TV3.

Selain itu, Alif juga akan terbabit dalam satu program amal bersama Pertubuhan Komited Malaysia pada 16 Mei ini untuk membantu mereka yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 4:07 PM