KOLABORASI Raihan dan Alif Satar menyanyikan lagu Sesungguhnya 2019 diperkatakan ramai peminat.
Ridzuan Abdul Rahman


KUMPULAN Raihan menganggap gandingan mereka bersama penyanyi Alif Satar menerusi lagu Sesungguhnya 2019 sesuatu yang menakjubkan apabila video rakaman dimuat naik ke YouTube sejak empat hari lalu kini mencecah lebih 1.9 juta tontonan.

“Alhamdulillah, Raihan bersyukur kerana diberikan peluang ini. Secara tidak langsung Raihan ada benda untuk diperkatakan dan tiba-tiba nama kami tular menjadi sebutan peminat di sana sini.

“Alif pun peminat tegar Raihan. Dia boleh menyanyikan lagu Raihan dengan sempurna dan gandingan ini tepat pada masanya apabila keluar pada Ramadan serta mengembalikan semula kenangan kepada peminat kami.

“Ia satu hadiah buat peminat yang merindui kami khususnya yang membesar dengan lagu ini,” kata anggotanya Che Amran Idris.

Che Amran berkata, idea untuk bergabung itu disuarakan oleh Alif dan mereka menyambut positif kerana tujuannya amat baik.

“Proses rakaman mengambil masa hanya satu malam. Kami kekalkan melodi asal, namun ada sedikit perubahan dalam aspek harmoni yang dipandu oleh Abu Bakar.

“Keaslian lagu ini masih dikekalkan tapi rasanya Sesungguhnya 2019 lebih sedap berbanding dulu.

“Kalau boleh kami nakkan jumlah tontonan yang paling tinggi untuk lagu ini. Pada kami inilah masanya untuk peminat dengar balik lagu Raihan,” katanya.

Menurutnya, lagu itu bukan sahaja tular di Malaysia, tetapi turut trending di Singapura apabila menduduki tempat keenam.

“Di Indonesia pun lagu ini mula jadi sebutan. Insya-Allah mudah-mudahan lagu kami trending semula dan yang penting semua peminat dengar lagu Raihan.

“Kami tak menafikan gabungan dengan Alif seperti batu loncatan untuk Raihan kembali mengukir populariti di mata peminat.

“Raihan boleh menggunakan pengaruh artis generasi baru. Lagu ini sebenarnya menemukan dua generasi iaitu generasi peminat Raihan dan generasi peminat Alif,” katanya.

Che Amran berkata, Raihan mengambil peluang itu sebagai peluang mengetengahkan lagu dakwah mereka kepada generasi baru.

“Peminat dulu mungkin sudah kenal lagu Raihan dan bagi mereka lagu kami juga wajar diperkenalkan kepada generasi baru dan dihayati mereka.

“Kami berterima kasih kepada semua yang menyokong Raihan sejak dulu sampailah sekarang,” katanya.

Raihan yang turut dianggotai dua lagi ahli iaitu Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim akan mengerjakan umrah mulai Rabu ini dan akan menyambut Aidilfitri di sana.

Dijangka, mereka akan pulang ke tanah air pada hari raya kedua atau ketiga nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 6:40 PM