AS’AD Motawh.
AS’AD Motawh.
Georgie Joseph


MUTAKHIR ini, nama penyanyi muda, As’ad Motawh menjadi bualan ramai berikutan pelbagai insiden menimpanya. Daripada jatuh pentas, nyanyian dikatakan ‘lemah’, dipeluk peminat wanita hinggalah persembahannya tidak dapat sambutan menghantui dirinya.

Pada usia 18 tahun, sudah pasti situasi itu cukup berat untuk ditanggungnya. Apatah lagi, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Senyum itu baru memulakan kerjaya seninya.

Bagaimanapun, As’ad tidak mudah patah semangat sebaliknya bangkit menetapkan misi dan visi demi kelangsungan kariernya.

“Terus terang, saya tak tahu nak buat apa lagi. Apa yang saya lakukan ada saja tidak kena di mata orang ramai.

“Namun, saya tidak akan mengaku kalah kerana menjadi anak seni adalah impian sejak kecil. Saya tidak akan sesekali membiarkan orang menidakkan apa yang saya cuba capai.

“Ketika mula melangkah dalam bidang ini pun ramai yang pertikai kemahuan saya untuk jadi penyanyi. Namun, saya percaya dengan kemampuan diri dan yakin dapat pergi jauh,” katanya.

Menurut As’ad, keraguan segelintir pihak itu menguatkan semangatnya untuk mengejar impian bergelar penyanyi.

Dia nekad mengabaikan kata-kata yang cuba memperlekehkan usahanya.

“Saya pasak dalam diri walau apa pun rintangan yang terpaksa dihadapi, saya akan pastikan cita-kita tercapai. Biarlah dengan cara apa sekali pun, yang penting saya berusaha.

“Buat mereka yang minta saya berhenti menyanyi, cakap saya tak boleh, ingatlah saya masih muda dan perjalanan masih jauh. Banyak lagi masa dan ruang untuk saya perbaiki diri. Jadi, berhentilah melontarkan kata-kata negatif,” katanya.

As’ad turut mengakui sokongan tidak berbelah bahagi artis senior turut mendorongnya meneruskan apa yang diusahakan. Segala nasihat diterima dengan hati terbuka dan gembira.

“Saya tidak kisah apa netizen nak cakap kerana mereka bukan ada dalam industri. Saya lebih teruja dengan sokongan yang diberikan artis senior dan rakan yang sudah menang Anugerah Juara Lagu termasuk Haqiem Rusli.

“Ini jalan hidup yang saya pilih dan tiada kata-kata yang mampu menghalang cita-cita saya. Kalau diacukan pistol dan disuruh berhenti menyanyi sekali pun, saya takkan lakukannya,” katanya.

Lebih menyemarakkan semangat juangnya adalah kata-kata perangsang bapanya serta sokongan anggota keluarga lain.

“Ayah selalu pesan jangan berhenti mengejar impian. Lagipun, berangan-angan itu percuma, bukan?

“Namun, kalau berangan-angan tanpa usaha tak akan dapat hasilnya. Jadi, apabila pasang angan-angan kenalah berusaha.

“Orang ramai tak boleh berharap saya capai tahap kualiti vokal Datuk Seri Siti Nurhaliza hanya dalam satu malam. Pastinya ia mengambil masa bertahun-tahun,” katanya.

Berkongsi mengenai hala tuju muziknya, As’ad berkata dia bakal membawa pembaharuan dalam karyanya selepas ini. Menurutnya, sudah tiba masa untuknya menjadi diri sendiri dan tampil dengan lagu yang dekat dengan jiwanya.

“Tiga single terdahulu saya ditentukan oleh syarikat rakaman. Insya-Allah selepas Aidilfitri nanti saya akan tampil dengan pembaharuan kerana semua lagu saya hasilkan sendiri.

“Sudah sampai masa saya melancarkan lagu yang kena dengan jiwa dan menggambarkan siapa As’ad,” katanya.

Dengan hala tuju baru itu, penyanyi yang tampil dengan single Warna itu mengakui lebih yakin dengan kemampuannya terutama aspek nyanyian.

“Segala aspek termasuk genre, susunan muzik dan nyanyian berdasarkan kemampuan serta kekuatan saya. Insya-Allah tak akan sumbang lagi selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 4:30 AM