ZASKIA Sungkar
ZASKIA Sungkar
Ardini Sophia Sina


SELEPAS memperlahankan aktiviti seninya, pelakon popular Indonesia, Zaskia Sungkar kembali beraksi dengan filem terbaharu berjudul Roh Fasik yang bakal ditayangkan di sini, bulan depan.

Walaupun memutuskan untuk kembali aktif berlakon, wanita berusia 28 tahun ini tetap dengan prinsipnya untuk tidak melakonkan adegan bersentuhan dengan lelaki dan berhati-hati memilih watak.

“Sekarang ini banyak syarat yang lebih berprinsip saya berikan kepada produksi. Walaupun jalan cerita bagus atau watak itu menarik tetapi jika ada babak berpelukan, saya tidak akan terima.

“Mungkin ada yang beranggapan syarat yang saya berikan ini agak keterlaluan. Namun, saya percaya pihak produksi faham dan dapat menerima syarat itu,” katanya.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam filem Roh Fasik, kata Zaskia, dia menangis ketika menjalani penggambaran filem seram Islamik itu.

Malah, dia turut mengalirkan air mata ketika pratonton filem berkenaan.

“Awal cerita itu memang buat jantung saya berdetak laju, tetapi pada akhir cerita saya menangis. Hati saya tersentuh mendengar lantunan ayat suci al-Quran dalam filem itu.

“Saya terharu kerana Islam seindah itu. Filem ini mengingatkan saya kepada Allah dan mengingatkan supaya menjauhi perkara tidak baik, terus beribadat serta beriman,” katanya.

Menurutnya, Roh Fasik terbitan Raffi Ahmad itu sarat nilai agama dan pengajaran kepada penonton. Ia filem seram Islamik pertama lakonan Zaskia.

“Ini kali pertama saya berlakon dalam genre seperti ini. Filem ini ada banyak pesanan, pengajaran dan nilai moral untuk disampaikan kepada penonton,” katanya.

Baru-baru ini, timbul spekulasi pelakon itu hamil apabila dia berkongsi gambar dengan kenyataan ‘tidak ada yang akhiran yang menyedihkan bagi mereka yang percaya kepada Allah’.

Rata-rata ramai pengikutnya yang menganggap ia adalah cara wanita itu berkongsi berita mengenai kehamilannya. Peminat membanjiri ucapan tahniah tidak hanya di laman sosialnya tetapi juga Intstagram suaminya.

Bagaimanapun, ketika media bertanyakan kebenaran perkara itu, Zaskia enggan menjawab dan membiarkan ia terus menjadi teka-teki.

Zaskia berkahwin dengan penyanyi dan pelakon, Irwansyah pada 15 Januari 2011 selepas lapan bulan bercinta. Sehingga kini, pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 7:00 AM