SYATILLA Melvin kongsi pengalaman 'czer' yang banyak mengajarnya. FOTO Instagram Syatilla Melvin
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON jelita, Syatilla Melvin berkongsi pengalaman ketika melahirkan anak keduanya, Sarima Samheizy pada 17 April lalu, di laman sosialnya semalam.

"Bila anak lena, barulah boleh tulis panjang sikit. Okey, nak kongsi pengalaman 'czer' kali kedua dengan anda semua.

"Asalnya memang niat nak sangat beranak normal tapi Allah sudah tetapkan apa yang terbaik untuk Tilla, terima kasih Allah!," tulisnya.

Katanya, pada trimester ketiga sebelum beranak, kandungan semakin membesar dan parut 'czer' lama mula rasa 'ngilu' apabila bersin atau batuk.

"Tidak sakit tapi ngilu, jadi saya mula berimaginasi kalau meneran untuk beranak secara normal nanti, kalau luka lama terkoyak nanti, bagaimana?

"Takkan sakit atas bawah, kot? Jadi Tilla ambil keputusan untuk 'czer' tidak mahu ambil risiko," tulisnya.

Isteri pelakon Shaheizy Sam menulis, perkara pertama dia berpesan kepada doktor yang merawatnya adalah walau apapun berlaku, tolong kemaskan jahitan pada perutnya.

Dia berkata, keputusan dibuat itu rupa-rupanya berjaya menyelamatkan anak dalam kandungan.

Syatilla mendedahkan, ketika pembedahan, pakar bedah mendapati bayi terbelit dua kali dengan tali pusat.

"Allahuakbar! Berdebar Tuhan saja yang tahu kerana bayi boleh lemas kalau lambat dikeluarkan. Tambah pula, 'czer' kali ini lain macam sikit!

"Boleh rasa pisau lalu atas kulit! Tak sakit, tapi memang boleh rasa ada benda lalu dan ditoreh pisau.

"Doktor potong guna gunting pun Tilla boleh rasa cuma tak sakit," luahnya turut terhidu bau hangit ketika proses itu berlaku.

Dia bersyukur segala urusan dipermudahkan Allah dan sudah mampu bergerak seperti biasa pada hari kedua selepas pembedahan.

Katanya, pengalaman melakukan 'czer' lalu banyak mengajarnya dan paling penting, dia mendakwa beranak secara pembedahan tidak seteruk seperti digembar-gemburkan segelintir pihak.

Baginya, mentaliti adalah nombor satu dan kalau difikirkan sakit, maka akan lebih sakit jadinya.

Pasangan Syatilla dan Shaheizy berkahwin pada Februari 2016 dan menerima cahaya mata sulung Syeriv Samheizy yang sudah pun berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 4:06 PM