EBBY Yus bersyukur kesihatannya semakin baik dan mampu berpuasa. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON dan pelawak, Ebby Yus, 55, memaklumkan keadaan kesihatannya semakin baik dan bersyukur kerana diberikan peluang oleh Allah untuk menjalani ibadat puasa pada tahun ini.

Menurut Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, dia pada awalnya bimbang sekiranya tidak mampu untuk berpuasa memandangkan perlu mengambil ubat mengikut jadual.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin pulih berbanding sebelum ini. Untuk berpuasa pada tahun ini, pada awalnya, saya bimbang juga kerana perlu makan ubat setiap tiga jam.

"Pada hari pertama, saya cuba untuk berpuasa dan alhamdulillah, sehingga ke hari ini, dapat berpuasa penuh tanpa sebarang masalah," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai kebocoran buah pinggang yang dialaminya Januari lalu, Ebby memberitahu dia kini kembali stabil.

"Kali terakhir saya menjalani rawatan untuk buah pinggang pada 2 Mei lalu dan alhamdulillah, doktor mengesahkan keadaan buah pinggang kini stabil," katanya.

Ebby berkata, Ramadan tahun ini adalah paling sibuk untuk karier seninya.

"Dah hampir enam tahun saya memang tak ambil sebarang tawaran penggambaran pada Ramadan. Namun, tahun ini, saya terima banyak tawaran.

"Alhamdulillah, saya anggap ini semua rezeki. Cumanya, saya lebih memilih untuk melakonkan watak yang tidak terlalu agresif memandangkan tidak kuat seperti dulu," katanya.

Terbaru, Ebby baru sahaja selesai menjalani penggambaran program komedi bersempena Aidilfitri, JKK Raya 2019 yang akan ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri ketiga di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 5:06 PM