MAWI (kiri) bersama pelakon utama filem Tiada Tajuk (dari kiri) Along Cham, Joey Daud dan Hazama FOTO Aswadi Alias
Norhayati Nordin


“NAK kata apa lagi, saya bersyukur dan terima dengan positif nasib filem Tiada Tajuk yang juga karya pertama di layar lebar.

“Dah balik modal pun, Alhamdulillah. Biasalah, adat berniaga,” kata penyanyi dan pengarah, Asmawi Ani atau Mawi, 37.

Karya sulung Mawi yang ditayangkan di pawagam pada April lalu itu sekadar mampu meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM503,600.

Menurutnya, meskipun filemnya tidak mencatat kutipan pecah panggung tetapi dia masih berbangga dengan karya itu.

“Memanglah siapa yang tak nak untung dalam berniaga. Namun, saya harus akur dalam setiap perniagaan ada risikonya.

“Jadi, sebagai penggiat filem yang baru belajar timba pengalaman, saya tidak meletak sasaran kutipan yang tinggi,” katanya.

Menurut penyanyi yang pernah mendapat jolokan ‘Raja SMS’ itu, dia sudah sangat bersyukur apabila bakat pengarahannya diyakini masyarakat.

“Sekurang-kurangnya, ramai juga yang datang menonton filem Tiada Tajuk sepanjang penayangannya di pawagam tanah air dan Brunei.

“Saya berterima kasih kepada semua penonton yang sudi ke pawagam untuk menyokong filem Tiada Tajuk ini. Terima kasih,” katanya.

Filem Tiada Tajuk yang ditayangkan selama dua minggu di pawagam mengetengahkan genre komedi Islamik yang sarat dengan mesej positif.

Diterajui tiga pelakon utama iaitu Hazama, Along Cham dan Joey Daud, filem itu mengisahkan tiga sekawan yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar cita-cita sebagai penyanyi rock.

Karya filem itu juga adalah kesinambungan telefilem Rock Sangkut yang pernah diarahkan Mawi pada 2014 lalu.

Apapun, sebagai mengotakan janji kepada penonton yang menyertai peraduan filem Tiada Tajuk, penyampaian hadiah kepada pemenang bertuah akan diadakan Mawi World Entertainment di ibu kota esok.

Pada majlis itu, Mawi bersama barisan pelakon yang hadir lebih dulu mengadakan majlis berbuka puasa dan meraikan anak yatim sempena Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 5:55 PM