HELIZA (kiri) dan Hazwani tidak dapat hantar bantuan, misi kemanusiaan tak dibenar masuk negara bergolak
Amirul Haswendy Ashari


SEPATUTNYA adik-beradik ini ‘terbang’ ke Gaza atau Syria untuk menjalani misi kemanusiaan menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia.

Malah, ia sepatutnya menjadi kenangan manis buat mereka kerana dapat merasai pengalaman meraikan Ramadan pertama di perantauan sambil beramal.

Namun, belum ada rezeki buat Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi yang dijadualkan terbang ke dua negara itu pada awal Ramadan.

“Sepatutnya kami ke Gaza atau Syria pada bulan ini. Saya pernah dua kali ke Gaza, memang susah nak masuk.

“Apabila wakil sana menghubungi memberitahu nama kami terpilih, ia satu peluang yang sangat besar,” kata Heliza.

Penyanyi dan pengacara itu berkongsi, wakil daerah berkenaan menghubungi mereka hampir setiap hari bertanya bila ke sana. Katanya, ketika itu jadual mereka berdua tidak seiring jadual yang diberikan wakil dari Gaza.

“Hazwani pula dalam minggu peperiksaan dan jadual saya pun agak padat, jadi kami minta untuk lewatkan beberapa hari, tetapi tidak boleh.

“Disebabkan isu tarikh tak sesuai, kami fikir mahu bergerak ke Syria pula, tapi isunya ada berlaku pertukaran pemimpin di Turki,” katanya.

Disebabkan isu berkaitan, mereka diberitahu tidak dibenarkan masuk untuk menghantar bantuan ke negara bergolak itu.

Menganggap Allah belum izinkan mereka ke sana lagi, aktiviti kemanusiaan di Malaysia tetap dijalankan seperti biasa.

Ditanya mengenai tindakan kejam Zionis Israel yang menyerang Gaza setiap kali bermulanya Ramadan, Heliza dan Hazwani menzahirkan rasa sedih.

“Ketika serangan berlaku pada awal Ramadan tempoh hari, wakil di Gaza sering menghubungi kami. Sepatutnya pada tempoh serangan itu, kami ada di sana dan mendapat laporan terkini,” kata Heliza.

Heliza berkata, perkara pertama di fikirannya ialah rakyat Palestin terutama di Gaza ibarat keluarganya juga dan apatah lagi kejadian berlaku ketika Ramadan.

Dia berharap seluruh umat Islam tidak lekang berdoa semoga kejadian seperti itu tidak berulang pada masa hadapan.

“Betapa sakit dan peritnya apabila sesebuah negara itu diserang. Contohnya di Syria, ramai rakyat yang jadi pelarian tanpa rela dalam negara sendiri.

“Apabila kita di negara sendiri, berseronok dengan makan tak putus sedangkan mereka berbuka puasa di celahan bangunan runtuh.

“Saya beritahu kepada mereka, doakan semoga ada rezeki muncul untuk kami menghantar bantuan,” katanya.

Baginya, bantuan bukan saja dalam bentuk kewangan, tapi juga ukhuwah yang dibina. Antara terkesan apabila berada di sana kata Heliza, bukan sukarelawan sepertinya yang memberi motivasi dan semangat sebaliknya pelarian pula yang memberinya.

HELIZA (kanan) dan Hazwani bersama keluarga.

ENGGAN ULAS ‘MATI SYAHID’

Pada Mac lalu, Heliza pernah meluahkan impian untuk mati syahid setiap kali menjalani misi kemanusiaan di negara bergolak.

Ditanya mengenai kenyataan itu, dia enggan mengulas lanjut dan mendakwa mereka ke negara bergolak sebab mahu menghantar bantuan kemanusiaan.

“Ustaz saya pesan, rujuk kepada yang lebih arif. Saya tidak boleh nak ulas sebab takut nanti orang salah faham,” kata Heliza.

Adiknya pula berpendapat isu itu membabitkan banyak pendapat daripada ulama yang disifatkan lebih arif. Apatah lagi, dakwanya, ada yang berpendapat simpan impian untuk syahid itu bagus.

“Tapi macam kami yang tiada ilmu agama mendalam, jadi betul bak kata Kak Ja (Heliza) kena rujuk ulama sebab syahid itu ada banyak cabang,” kata Hazwani.

KEKUATAN DARIPADA ALLAH DIWARISI DARIPADA IBU BAPA

Adik-beradik ini turut ditanya mengenai daripada mana mereka mendapat kekuatan untuk menjalani misi yang sangat berisiko.

“Nampak klise, tetapi Allah yang bagi! Apabila ada di sana ada satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Saat kita memberikan bantuan dan mereka menerimanya, kegembiraan dan kesyukuran mereka, tak tahu nak cakap macam mana,” katanya situasi itu membuatkan air mata pasti menitik.

Hazwani akui kakaknya mempunyai sifat kepemimpinan yang diwarisi daripada ibu bapa mereka. Apatah lagi bapa mereka, Helmi Mohd Hasbi yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak pesara polis.

Ibu mereka pula, Latifah Mohamad berasal dari Terengganu dikenali sebagai wanita yang berani lagi kental mendidik anak.

Heliza berkata, ibu bapa mereka sangat menyokong dan kalau terlalu lama tidak menjalani misi pasti mereka bertanya.

“Sebelum ini ramai juga tanya mama, tidak takutkah mengizinkan anak menjalani misi kemanusiaan? Ayat mama senang sahaja dan terkesan sampai sekarang, katanya, ‘kita buat benda baik, Allah mesti akan jaga selamat pergi balik’ dan itu dipegangnya sehingga kini,” kata Heliza.

Bapa mereka pula secara ringkas berkata, apa yang dilakukan itu adalah kerja baik dan memberikan sokongan penuh.

“Ia semua di bawah perancangan yang betul, bukan pergi suka-suka. Risiko tetap ada, kalau asyik fikir takut sampai bila pun tak boleh bantu.

“Sekurang-kurangnya ramai terpanggil untuk bantu bersedekah dan menyumbang,” kata Helmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 5:30 AM