EFFA mengusap kepala Dhalan yang masih tidak sedarkan diri di Hospital Selayang. FOTO Ridzuan Abdul Rahman
Ridzuan Abdul Rahman


“KALAU doktor dah kata begitu, apa lagi yang saya boleh buat kecuali reda dengan ketentuan Tuhan,” kata Datin Effa Rizan menjelaskan mengenai perkembangan terbaharu suaminya, Datuk Dhalan Zainuddin.

Dhalan, 78, yang popular pada era 70-an menerusi lagu Kisah Seorang Biduan, masih tidak sedarkan diri sehingga kini selepas dimasukkan ke Hospital Selayang, Sabtu lalu akibat serangan angin ahmar (strok) buat kali kedua.

Effa mengakui sedih dengan kenyataan doktor tetapi tetap menerimanya dengan hati terbuka.

“Saya dan tiga anak, Natasha Idha, 40; Mohd Danial, 35, dan Athinia Ines, 24, sentiasa tabah dengan dugaan serta tidak jemu untuk menjaga bapa mereka.

“Saya sentiasa mengalu-alukan jika ada kawan rapat abang mahu melawatnya di hospital.

“Doktor juga kata, jika ada kawan nak datang melawat bolehlah datang. Saya fahamlah maksudnya,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Kira-kira jam 4 petang Sabtu lalu, Effa berbual seperti biasa dengan Dhalan selepas minum petang. Namun suaminya tiba-tiba senyap dan tidak memberikan sebarang reaksi dan kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang.

“Abang tak boleh puasa, tapi dia kononnya nak puasa dan saya benarkan. Waktu sahur, saya kejutkan dia untuk makan tapi apabila pagi dia nak air. Saya tahu dia tak kuat.

“Dia nak puasa dan tanya saya, bolehkah puasa setengah hari? Biasalah perangainya macam budak-budak. Dia makan sahur tapi tengah hari akan makan.

“Sejak sakit, dia sendiri yang susun jadual makannya. Jam 10 pagi lain, jam 12 tengah hari lain dan petang lain. Kadangkala waktu petang dia minta makan dua kali tapi saya layankan sahaja,” katanya.

Effa berkata, dia kini mengawal sepenuhnya ubat Dhalan kerana sejak mengalami strok, suaminya tidak lagi kenal ubat.

“Sebelum kena strok, dia ada kencing manis tapi ketika itu pandai makan ubat. Sekarang saya yang aturkan dia makan ubat mengikut waktu.

“Abang masih minat menyanyi dan kalau ke mana-mana majlis, dia akan merajuk kalau saya tak benarkan.

“Sepatutnya hanya saya yang menyanyi, tapi dia tetap nak ikut. Kalau persembahan di sekitar Kuala Lumpur, saya pasti akan bawa dia,” katanya.

Menurutnya, nyanyian suaminya juga semakin bertambah baik berbanding dahulu.

“Sepatutnya malam tadi, abang terbabit dengan program Iftar Ramadan Tautan Kasih di Kampung Baru, tapi apakan daya dia masuk wad.

“Abang juga ada tawaran menyanyi pada hari raya dan dia berkobar-kobar nak menyanyi lagu rayanya.

“Dia nak hafal dan suruh saya tulis lirik lagu itu dan saya kata tarikhnya lama lagi 29 Jun.

“Saya hanya ambil ‘show’ kecil yang sesuai dengan kemampuannya. Memang tak berani ambil ‘show’ besar sedangkan persembahannya tak seberapa. Nanti orang kata sakit pun saya paksa dia menyanyi sedangkan dia yang nak sangat menyanyi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah air (YKAT), Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave berkata, pihaknya memberikan bantuan sewajarnya apabila Dhalan di masukkan ke Hospital Selayang.

“Sebelum ini kami dah bantu beliau daripada segi kewangan serta mendapatkan rumah daripada kerajaan buatnya.

“Apabila saya dapat panggilan daripada Effa yang mengatakan Dhalan dikejarkan ke sini, saya segera menghubungi Ketua Bahagian Kecemasan, Hospital Selayang, Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman supaya memberikan bantuan sewajarnya.

“Dia mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) yang tiada katil dan akhirnya dipindahkan ke Wad Pergantungan Tinggi (HDW) pada malam sama,” katanya yang mengharapkan keajaiban berlaku terhadap Dhalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 5:49 PM