NAZREY terharu dengan tanda ingatan peminat yang merindui kelunakan suaranya itu.
Ardini Sophia Sina


BEKAS anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani tidak mungkin akan kembali bersama kumpulan nasyid popular itu tetapi tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mereka.

Nazrey ketika dihubungi berkata, dia tidak lagi dapat memberikan komitmen 100 peratus terhadap nyanyian kerana kini sibuk menguruskan Maahad Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, Ranau, Sabah.

“Bagaimanapun, kalau ada jemputan daripada pihak Raihan, saya akan pertimbangkan selepas berbincang dengan Nazrey Johani Management,” katanya.

Sebelum itu, nama Raihan yang kini dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim kembali menjadi sebutan selepas lagu Sesungguhnya yang dirakam semula bersama Aliff Satar menjadi popular dan tular.

Berikutan itu, ramai peminat mula memberi cadangan supaya Nazrey kembali bersama Raihan seperti mana mereka mencetus fenomena menerusi album Puji-Pujian dulu.

Nazrey juga terharu dengan tanda ingatan peminat yang merindui kelunakan suaranya itu.

Dia turut meluahkan rasa gembira kerana peminat masih mengingati dirinya sebagai penulis dan penggubah lagu Sesungguhnya yang kini sekali lagi menjadi fenomena.

“Terima kasih kerana peminat masih ingat saya sebagai penulis lirik, penggubah dan juga penyanyi pada lagu berkenaan.

“Setinggi ucapan terima kasih juga kepada pihak media yang memberikan sumbangan hingga menyebabkan lagu Sesungguhnya tular di media sosial,” katanya yang meninggalkan Raihan pada 2005 kerana mahu memberi tumpuan kepada aktiviti dakwah.

Sementara itu, Che Amran dalam satu temubual mengakui Raihan kini selesa bertiga. Che Amran berkata, walaupun banyak permintaan untuk mereka kembali bergabung, tetapi ia bukan dalam tempoh terdekat ini.

“Kami okay dengan Nazrey dan masih berhubung walaupun tidak kerap. Kami tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Nazrey, cuma bukan dalam masa terdekat ini. Lagipun dia sibuk dengan aktiviti lain. Doakan yang terbaik buat kami.

“Kami akui peminat tidak boleh terima orang baru dalam Raihan. Pernah ada anggota baru menggantikan Nazrey, tapi tak lama. Peminat nak juga anggota asal walaupun hanya bertiga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 3:56 PM