NOORKHIRIAH mendapat tiga aduan berkaitan penipuan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang menipu. FOTO Instagram Noorkhiriah dan Arkib NSTP
Norhayati Nordin


PELAKON Noorkhiriah Ahmad Shapie, 43, kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab sanggup mengambil kesempatan dengan aktiviti ‘review’ produk dilakukannya.

Noorkhiriah berkata, dia akan membuat aktiviti review produk di Instagram (IG) jika tiada tawaran berlakon yang sesuai.

“Sekiranya ada tawaran sesuai, saya terima. Namun, jika tiada saya teruskan saja aktiviti review produk di IG.

“Ini kerana, sesungguhnya rezeki itu milik Allah SWT. Saya yakin jika tidak mendapat tawaran berlakon, mungkin rezeki itu di cabang lain,” katanya.

Pun begitu, Noorkhiriah berkata dia juga kini harus berhati-hati untuk membuat ‘review’ produk di IG kerana enggan pengguna menjadi mangsa.

“Setakat ini, saya mendapat tiga aduan berkaitan penipuan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang menipu.

“Mereka bukan peniaga produk pun tetapi mengambil kesempatan dengan menipu untuk mengaut keuntungan mudah.

“Saya sedih dan kesal dengan tindakan dilakukan itu. Kasihan kepada pengguna yang menjadi mangsa penipuan mereka,” katanya.

Noorkhiriah yang melonjak semula namanya di arena lakonan selepas membintangi drama Nur dan Nur 2 di TV3 ada memuat naik status teguran tegas di IG.

“Sesiapa yang berniaga dan menipu, dalam masa sama jangan meminta akak buat ‘review’ sebab akak tak tahu korang ni betul berniaga atau menipu.

“Tolanglah, tak berkat wei menipu dan akak hanya review saja. Tak sempat nak tanya satu-satu, korang ni berniaga atau menipu,” tulisnya.

Amaran tegas Noorkhiriah, dia tidak mahu bersubahat dan kepada yang menipu itu jangan sampai nama IG mereka dimuat naik.

Kata ibu tiga anak itu lagi, baik pulangkan duit pelanggan kerana bukan mudah mencari wang dan senang saja menipu orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 6:06 PM