ABON kini sibuk sebagai usahawan produk seperti snek bilis dan roti sarang lebah.
Amirul Haswendy Ashari


SEJAK mengambil keputusan untuk ‘bersara’ daripada dunia lakonan lebih lima tahun lalu dek rasa kecewa dengan layanan syarikat produksi dan stesen televisyen, Abon kini lebih tenang.

Rutin pelawak yang juga pemilik nama sebenar, Sharizan Ahmad, 58, kini sibuk sebagai usahawan produk seperti snek bilis dan roti sarang lebah.

“Bulan puasa lalu saya sibuk mempromosi produk dan menyertai bazar Ramadan bersama rakan artis seperti Mubarak Majid, Zur Eda, Kapten Mohd Nor dan Anne Abdullah.

“Sebelum ini produk saya masuk Kedai Mesra (Petronas) dan selepas berhenti berlakon, saya mula aktif berniaga semula,” katanya.

Bercakap mengenai peluang mengedarkan produk sendiri ke premis itu, Abon berkata, ketika Petronas menawarkan peluang itu kepada pengusaha produk industri kecil sederhana (IKS) sepertinya, ia peluang yang sangat menarik.

Katanya, pihak itu menawarkan ruang di 300 premis Kedai Mesra di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Tapi, ketika itu saya hanya mampu sediakan untuk 38 premis sebab tidak cukup kakitangan. Kebetulan isteri pun sudah bersara wajib, jadi kami teruskan dengan meneruskan bisnes ini sebagai bisnes keluarga.

“Sekarang ini harapkan keluarga saja dalam empat ke lima orang termasuk anak untuk membantu,” katanya.

Lebih menarik, biarpun bisnes itu disifatkan kecil-kecilan, ia membawa pulangan yang agak lumayan buat keluarga.

Dek sambutan hangat di Kedai Mesra, produknya juga mendapat perhatian Rosyam Mart.

“Apabila permintaan jadi terlalu tinggi, saya jadi takut nak buat sebab tak cukup kakitangan. Terutama apabila Datuk Rosyam meminta saya hantar ke pasar rayanya tempoh hari, saya jadi terkedu,” katanya.

Katanya, percubaan menghantar 20 bekas ke pasar raya itu, habis dijual dalam tempoh singkat. Abon sangat bersyukur kerana rakannya banyak memberi sokongan dan memahami kehidupan artis veteran sepertinya yang perlu mencari ruang rezeki sendiri selepas sering disisihkan penerbit dan stesen televisyen.

ABON turut menjadi duta Ezzy Korban. FOTO: Zunnur Al Shafiq

ARTIS VETERAN JUGA PERLU ‘HIDUP’

Pahit tapi benar, Abon berpendapat industri seni melayan anak seni sepertinya dengan cara yang tidak adil.

“Saya mungkin lepas, tapi kawan lain macam mana? Contohnya saya masih ada peluang untuk buat ‘dinner show’, majlis kahwin dan berniaga secara kecil-kecilan.

“Saya sedih dengan kawan artis veteran seramai 48 orang yang kalau tiada cerita untuk mereka, tiadalah!

“Mereka ini yang akan menjadi penerima bantuan sara hidup untuk Aidilfitri ini,” katanya sambil memberitahu ramai kalangan mereka tiada kepakaran lain selain berlakon.

Abon mengakui kekecewaan yang diluahkan hampir tujuh tahun lalu sehingga mengambil keputusan berhenti berlakon tetap tidak berubah.

“Umum tahu, saya kecewa dengan industri. Tekan saluran televisyen mana-mana pun, muka sama saja. Bukan saya saja, semua orang cakap benda sama.

“Tapi saya rasa penonton pun sudah cerdik, seolah-olah artis lain tidak boleh berlakon atau berlawak ke?” katanya.

Dia mengibaratkan seolah-olah dalam industri hiburan hanya ada lapan hingga 10 orang anak seni yang boleh berlakon dan berlawak di Malaysia.

Katanya, tiada perubahan berlaku sejak dia menyuarakan kekecewaan ini kerana melihat situasi masih sama. Dia mengambil contoh beberapa stesen televisyen swasta yang asyik mempunyai kelas artis tersendiri.

“Selepas saya bersuara dulu, baru ada yang mulai panggil, tapi saya tolak dan beritahu rezeki saya terarah kepada perkara lain seperti jadi duta Ezzy Korban.

“Walaupun ia hanya setahun sekali, tapi saya anggap ia sebagai satu jariah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 5:00 AM