NADIA dan Mu'izz pada majlis pertunangan mereka yang dilangsungkan Mei lalu. FOTO Faiz Anuar
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Nadia Brian, 28, terpaksa menunda tarikh majlis pernikahannya yang sepatutnya berlangsung pada 19 September depan.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi berkata, dia dan tunangnya, Muizz Nasruddin terpaksa mencari tarikh baru kerana lokasi sudah penuh.

“Kami terpaksa tunda kerana belum ada lokasi. Sebelum ini, kami memilih 19 September kerana tarikh itu dirasakan menarik. Kami hanya mampu merancang,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nadia, dia dan bakal suaminya enggan terlalu memikirkan perkara itu dan kemungkinan majlis akan diadakan hujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Sebenarnya, saya dan tunang tak kisah sangat mengenai tarikh atau angka. Sekarang, kami masih lagi melakukan beberapa persediaan awal.

“Insya-Allah, sekiranya semuanya berjalan lancar, majlis perkahwinan kami akan berlangsung pada hujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.

Nadia mengakui memegang kata-kata rakannya, Fasha Sandha yang memberikan tip sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Fasha Sandha antara artis yang memberikan nasihat dan tip kepada saya mengenai perkahwinan. Katanya, nikmati fasa bertunang kerana dalam fasa inilah akan ada banyak cabaran dan dugaan,” katanya.

Ramadan lalu, Nadia menyertai kursus perkahwinan sebagai persediaan awal sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

Sebelum mengikat tali pertunangan dengan Muizz, kedua-duanya berkenalan selama dua tahun dan pada Februari lalu Muizz melamarnya di Kota Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 3:30 PM