NABILA persoal kenapa Nourish perlu rasa tergugat dengan dirinya yang berstatus anak kepada Amy.
Ardini Sophia Sina


PELAKON popular Nabila Huda berharap ibu tirinya Nourish Hassan dapat menerimanya sebagai anggota keluarga satu hari nanti.

Harapan itu dimuat naik anak kepada penyanyi rock legenda, Amy Search menerusi satu hantaran di Instagram, hari ini.

“Kami semua berdoa semoga lembutkan hati awak untuk terima nama saya yang berbintikan suami awak,” tulisnya.

Dalam satu hantaran yang lain, Nabila atau mesra dengan panggilan Abil berkata, Nourish tidak perlu bimbang kerana dia tidak akan merampas bapanya.

“Jangan risaulah, saya takkan rampas dia,” tulis Nabila di Instagram miliknya hari ini yang ditujukan buat Nourish.

Dalam pada itu, pelakon filem Munafik itu turut mempersoalkan kenapa Nourish perlu rasa tergugat dengan dirinya yang berstatus anak kepada Amy.

“Darah dia ada dalam badan saya, sampai akhirat pun masih ada lagi,” katanya.

Semalam, Nabila memuat naik video persembahannya menyanyikan lagu Tiada Lagi bersama Amy berserta ucapan sempena Hari Bapa dan luahan rasa rindu terhadap Amy.

Menurut Nabila, dia ikhlas dengan apa yang ditulis buat bapanya dan tidak perlu perkara itu dibabitkan dengan agama.

“Ia sekadar luahan seorang anak kepada bapanya. Tak semestinya Hari Bapa, hari biasa pun saya boleh saja buat, cuma semalam saya rasa nak letakkannya di Instagram. Salah ke?” katanya.

Keadaan menjadi ‘panas’ apabila Nourish kemudian memuat naik satu hantaran di Instagram memaklumkan Amy tidak pernah meraikan Hari Bapa, Hari Ibu atau kejutan majlis hari jadi kerana ia tidak sesuai untuk orang Islam yang dipercayai turut ditujukan kepada Nabila.

Sementara itu, Amy ketika dihubungi Harian Metro enggan mengulas mengenai perkara itu kerana ia membabitkan keluarga.

Bagaimanapun, usaha Harian Metro menghubungi Nabila dan Nourish bagi mendapatkan reaksi mereka tidak berjaya apabila kedua-duanya tidak menjawab panggilan telefon dan mesej WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 5:35 PM