KAKA tidak terfikir tinggal nyanyian meskipun selepas bersalin.
KAKA tidak terfikir tinggal nyanyian meskipun selepas bersalin.
Norhayati Nordin


MESKIPUN kini sarat hamil, penyanyi dan pelakon, Kaka Azraff, 30, masih aktif bekerja. Menurut Kaka, berbadan dua bukan keka­ngan untuk­nya terus berkarya, malah tidak terfikir untuk bersara selepas bersalin.

“Tak mungkin saya mening­galkan bidang ini kerana ia sudah sebati dengan diri. Bagaimanapun, selepas bersalin nanti anak jadi keutamaan dan saya berehat seketika.

“Bukan apa, karier seni minat saya dan diwarisi daripada keluarga. Insya-Allah, saya boleh bahagikan masa dengan baik antara kerjaya dan keluarga.

“Suami pun sangat memahami dan menyokong saya. Bagaimanapun, saya mohon doakan yang baik-baik untuk saya bayi dalam kandungan,” katanya.

Berbicara soal mengidam, penyanyi lagu Bukan Hal Aku dan Sibuk itu bersyukur kerana tidak teringin makanan yang bukan-bukan atau sukar dicari.

“Setakat ini, saya boleh makan apa saja. Semua makanan nampak sedap. Apa-apa pun lagi selesa kalau makanan juadah yang dimasak sendiri.

“Apatah lagi, selepas berkahwin saya masak sendiri kerana suami suka. Orang kata, air tangan isteri pengikat kasih suami.

“Masak boleh buat saya tenang. Walau menunya ringkas dan biasa saja, tetap berselera makan,” katanya.

Mengulas perihal karier, Kaka berkata, dia sentiasa positif dan teruja untuk merakam lagu baru.

“Cuma, apabila hamil kena perlahankan sikit rentak. Tak boleh selasak dulu, tapi saya masih aktif dan banyak buat kerja dari rumah,” katanya yang meraikan Aidilfitri kali pertama bersama suami. Mengumumkan kehamilannya pada Ramadan lalu, Kaka berkata, dia tidak kisah jantina anak asal sahaja sihat.

“Tak kisah lelaki atau perempuan, saya dan suami okey. Apa yang penting sihat dan kami teruja menunggu kelahiran anak sulung yang dinanti selama ini.

“Suami juga sanggup berhenti merokok sejak saya disahkan hamil. Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan kebahagiaan diberikan Allah ini,” katanya.

Kaka atau nama sebenarnya Noor Atiqa Noor Azraff mendirikan rumah tangga dengan Adam Azriff pada 27 November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 5:00 AM