MAK Jah
MAK Jah
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON veteran Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah, 71, mengakui pernah berdepan dugaan getir dalam hidup apabila disahkan menghidap kanser rahim tahap satu pada 2016 sehingga tidak dapat aktif bekerja.

Paling menyedihkan dia tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak bagi menampung kos rawatan dan terpaksa menggadai barang kemas untuk membiayai rawatan penyakitnya.

“Hanya itu pilihan yang ada. Harta dan barang kemas boleh dicari tetapi nyawa tiada galang ganti.

“Tak dinafikan duit pun banyak dihabiskan untuk tujuan perubatan.

“Namun, selagi boleh berusaha, saya tak mengalah untuk sembuh

daripada kanser,” katanya.

Mak Jah belum mampu untuk menebus kembali barang kemas itu sampai sekarang malah dia tidak ralat asalkan kesihatannya kembali pulih.

“Saya terpaksa berehat selama dua tahun ketika dalam fasa rawatan. Hujung 2017, barulah saya dapat beberapa tawaran berlakon.

“Syukurlah, awal tahun ini barulah saya disahkan pulih sepenuhnya. Doktor ada bagi sebiji ubat untuk halang sel kanser daripada aktif semula.

“Ubat berharga RM1,200 sebiji ini perlu diambil sebulan sekali. Manakala ubat kencing manis dan darah tinggi saya dapatkan di hospital kerajaan,” katanya.

Selain ubat yang disebutkan, dia juga mengambil suplemen berharga RM300 sebulan bagi menjaga kesihatan.

“Keseluruhannya, saya kena cari pendapatan RM1,500 ke RM2,000 sebulan.

“Saya juga jaga pemakanan dengan lebihkan makan sayur dan ikan serta buah-buahan.

“Daging tak dibenarkan makan sampai sekarang, manakala ayam dibolehkan hanya sebulan sekali. Saya juga banyak makan bawang putih,” katanya.

Ketika disahkan menghidap penyakit itu, Mak Jah mengalami kemurungan selama enam bulan.

Dia patah semangat dalam hidup dan berkurung serta menjauhkan diri daripada rakan-rakan kerana membayangkan maut yang menanti.

Mak Jah yang membintangi lebih 100 drama dan menjayakan berpuluh filem memberitahu

penyakitnya pulih berkat doanya ketika menunaikan umrah di Makkah pada 2017.

Ketika itu, dia terbabit dengan penggambaran drama Kisah Dari Makkah.

“Semangat saya tak kuat ketika itu tetapi saya tak putus asa berdoa di depan Kaabah setiap hari.

“Apabila pulih, doktor minta saya

gembirakan diri bagi melawan penyakit. Dia tidak mahu saya murung.

“Jad, saya terbabit aktif dalam Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) dan persatuan penduduk. Namun, saya bukanlah buat kerja berat, sebaliknya bergaul mesra dengan mereka.

“Sebenarnya dalam tubuh badan kita semua ada kanser. Silap-silap kanser dalam tubuh saya akan aktif semula dan itu terserah pada ketentuan Allah,” katanya.

Menurut Mak Jah, semangatnya untuk bangkit turut didorong oleh motivasi daripada seorang ustaz.

“Ketika itu, saya bersolat setiap waktu di masjid hingga ustaz pelik melihat saya menangis seorang diri setiap hari.

“Apabila tahu kisah sebenar, dia menasihati saya agar bersabar dengan ujian Allah.

“Ustaz memaklumkan, saya beruntung kerana terpilih diuji dengan penyakit. Saya tahu akan mati, sudah tentu membuat persediaan untuk kembali ke pangkuan-Nya.

“Mendengar nasihatnya, saya bersemangat untuk bangkit semula. Saya menjalani kehidupan seperti biasa, tak lagi menjauhkan diri daripada rakan, tanpa mensia-siakan ibadat saya,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini mempunyai 11 cucu dan tiga cicit.

Dia tinggal sendirian dengan ditemani seorang cucunya.

Mak Jah kembali aktif berlakon tetapi menolak untuk menjayakan drama episod atau projek yang ambil masa terlalu lama.

“Saya pernah dua kali masuk hospital dan disahkan ada jangkitan kuman dalam darah dan paru-paru.

“Ia buat penggambaran dua kali tertangguh dan saya enggan ganggu jadual orang lain

“Saya juga tak kisah ditawarkan apa sahaja watak samada komedi, orang gaji atau hantu kerana ia bermakna pengarah percaya saya mampu bawakan watak-watak begini,” katanya.

Ditanya sampai bila dia mahu berlakon, Mak Jah mengakui pernah berasa sedih memikirkan perkara itu.

“Terfikir juga, kenapa aku dah tua pun masih berlakon. Kadang-kadang ada terasa malu.

“Namun, apabila difikirkan semula, orang masih nak saya dan kenapa nak tolak rezeki.

“Selain itu, faktor kewangan juga penting. Takkan saya nak mengharapkan anak-anak. Selagi orang nak dan selagi ada kudrat, saya akan terus berlakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 8:03 PM