HENRY Golding. FOTO Instagram.
Georgie Joseph


PELAKON kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Hollywood, Henry Golding, 32, bekerjasama dengan sebuah syarikat dari China menubuhkan syarikat produksi Long House Productions.

Henry berkata, dia mahu menjadikan platform itu untuk tampil dengan karya berkisar pengalamannya menetap di pelbagai negara seluruh dunia.

“Saya sangat teruja untuk membawa cerita unik daripada pengalaman saya sepanjang menetap di Asia, London, Amerika Syarikat dan beberapa tempat lain di seluruh dunia dalam sebuah filem. Ini yang saya sedang usahakan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Henry juga bekerjasama dengan syarikat Starlight Cultural Entertainment yang berpangkalan di Beverly Hills, Amerika Syarikat yang turut melabur untuk pembikinan filem Crazy Rich Asians lakonannya sebelum ini.

Selain itu, Henry juga akan membuat penampilan pertamanya dalam filem aksi berjudul The Inheritance terbitan Long House Productions.

Filem berkenaan adalah idea asal Henry bersama Alistar Hudson.

Dia juga akan membintangi serta menerbitkan filem aksi thriller berjudul Harrington’s Greatest Hits arahan James Strong.

Pelakon yang dilahirkan di Sarawak ini mencipta nama di Hollywood apabila membintangi watak utama filem Crazy Rich Asians.

Dia kemudian bergandingan dengan bintang popular Hollywood, Blake Lively dan Anna Kendrick menerusi filem A Simple Favor.

Henry turut membintangi filem Last Christmas di samping Emilia Clarke selain bakal tampil dalam filem The Gentleman arahan Guy Ritchie.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 11:36 AM
Skip this ad x