FLOOR 88 bertanggungjawab buktikan pemuzik berkumpulan akan terus berkarya tanpa dadah. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin


KUMPULAN Floor 88 menganggap pelantikan sebagai Ikon Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dapat membersihkan tanggapan negatif yang terpalit pada mereka tahun lalu.

Pemain keyboard kumpulan itu yang juga pelakon Eric Fuzi, 27, memberitahu nama Floor 88 pernah tular di Twitter tahun lalu apabila vokalisnya, Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah, 22, dikait mengguna dadah.

Menurut Eric atau nama sebenar Muhamed Eric Muhamed Fuzi, dakwaan itu berpunca daripada persembahan agresif dilakukan Ayie ketika menyanyi di sebuah universiti tempatan.

"Satu kejutan juga buat Floor 88 ketika itu apabila nama Ayie dikaitkan dengan penggunaan dadah gara-gara persembahannya.

"Ia nyata dugaan besar buat Floor 88 apabila dikaitkan dengan penggunaan dadah walaupun anggota kumpulan kami semuanya 'bersih'," katanya.

Meskipun teruja dengan pelantikan itu, Eric berkata, ia tanggungjawab berat buat Floor 88 untuk meyakinkan peminat muzik di negara ini bahawa pemuzik berkumpulan bebas dadah.

"Saya melihat sudah menjadi satu skeptikal pada segelintir masyarakat yang mengaitkan pemuzik berkumpulan dengan penggunaan dadah.

"Jadi, ia tanggungjawab Floor 88 untuk membuktikan bahawa rakan pemuzik berkumpulan lain akan terus berkarya tanpa dadah," katanya.

Selain Eric dan Ayie, Floor 88 dianggotai Zai Hamzah atau Achoi, 28, selaku pemain gitar utama, Muhammad Falikh Ghazali (Falique, 31, bass), Muhammad Akram Kadir (Akram, 29, dram) dan Amirul Affeq Mohd Fuaad (Amir, 28, gitar kedua).

Terdahulu, pagi tadi AADK mengumumkan pelantikan kumpulan Floor 88 sebagai Ikon Antidadah 2019/2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 8:21 PM