BAPA Liza Hanim (kanan), Abd Halim Abd Razak (kiri) meninggal dunia akibat kanser paru-paru di Hospital Canselor Tuanku Muhriz malam ini. FOTO Arkib NSTP dan Instagram Liza Hanim


BAPA penyanyi Liza Hanim iaitu Abd Halim Abd Razak, 73, meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Kuala Lumpur, malam ini.

Liza berkongsi berita duka itu menerusi gambar terbaharu yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

Menerusi teks yang ditulis, Liza memohon orang ramai untuk mendoakan supaya arwah bapanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali. Sesungguhnya tiada kuasa yang lebih besar dari kuasa-Nya Yang Maha Besar.

“Ayah saya Haji Abd Halim Haji Abd Razak kembali ke rahmahtullah sebentar tadi.

“Dengan rendah diri saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan ayah supaya ayah ditempatkan dalam kalangan orang dikasihi-Nya,” tulisnya.

Difahamkan arwah bapanya menghidap penyakit kanser paru-paru tahap empat selepas membuat pemeriksaan sejak awal April lalu.

Menurut Liza, jenazah bapanya akan dibawa ke rumah malam ini untuk urusan pengebumian.

“Jenazah arwah akan dibawa balik ke rumah malam ini selepas diuruskan oleh pihak pengurusan jenazah HCTM,” tulisnya lagi.

Tiga hari lalu, Liza meluahkan rasa terkilan menerusi sekeping gambar dimuat naik apabila tidak dapat menemani bapanya yang dikejarkan ke hospital menaiki ambulans atas urusan kerja tidak dapat dielakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 9:19 PM