DAYANG nafi bernaung di bawah label Faithful Music.
Rudy Imran Shamsudin


PENYANYI popular Dayang Nurfaizah menafikan dirinya kini bernaung di bawah label Faithful Music milik komposer dan penyanyi Faizal Tahir selepas kontrak kerjasama dengan Indigital Sdn Bhd tamat.

Dia yang bakal muncul dengan single terbaru berjudul Sebentar ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan menjelaskan projek bersama Faithful Music adalah kontrak kerjasama khas.

Dayang ketika dihubungi berkata, dalam situasi sekarang kebanyakan penyanyi dan syarikat rakaman lebih selesa menandatangani kontrak berdasarkan lagu.

“Ia perkara biasa dan dalam keadaan pasaran industri muzik yang agak perlahan, kontrak untuk album penuh atau menandatangani kontrak untuk bernaung beberapa tahun di bawah syarikat rakaman jarang dibuat.

“Industri muzik tempatan sudah berubah dan tidak seperti dulu. Kerjasama seperti ini juga bagus untuk semua pihak,” katanya lagi.

Dayang turut menafikan kerjasama itu membabitkan soal bayaran tinggi sebaliknya ia berdasarkan kontrak standard antara semua pihak.

Dayang menjelaskan kolaborasi bersama Faizal adalah atas kehendaknya dan single Sebentar dipasarkan sepenuhnya Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia selaku pengedar.

Sebelum ini Dayang mahupun Faithful Music memuat naik sedutan video lagu Sebentar dengan kenyataan ‘Welcome to Faithful Music’ (selamat datang ke Faithful Music) membuatkan ramai membuat andaian penyanyi itu kini bernaung di bawah syarikat rakaman milik Faizal.

Lagu Sebentar yang bergenre rancak akan menemui peminat pada 28 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 6:50 PM