DANIESH rapat dengan Ismail Izzani dan Naim Daniel.
DANIESH rapat dengan Ismail Izzani dan Naim Daniel.
Syafil Syazwan Jefri


Melangkah ke dalam industri muzik bukanlah keputusan mudah. Namun, bagi bakat baharu, Daniesh Suffian, kehadirannya adalah untuk mengejar cita-cita sebagai penyanyi. Bersyukur kerana memiliki teman yang terdahulu sudah memiliki pengalaman dalam industri muzik, Daniesh kini menggunakan perkongsian daripada mereka sebagai bekalan untuk melangkah lebih jauh sebagai penyanyi.

“Antara yang rapat dengan saya adalah Ismail Izzani dan Naim Daniel. Walaupun sudah memiliki pengalaman yang lebih banyak berbanding saya, mereka tak lokek untuk kongsikan ilmu,” katanya.

Menurut anak kelahiran Sabah ini, rakan menjadi antara pengkritik utama untuk memastikan dia sentiasa tampil bersedia ketika beraksi di pentas.

“Selain nasihat, mereka juga menjadi pengkritik saya setiap kali selepas membuat persembahan. Mereka memberikan tip supaya penampilan saya ketika membuat persembahan di pentas tidak nampak kekok.

“Semua nasihat itu diambil bagi memperbaiki kelemahan sebab mereka mahu saya jadi penghibur berkualiti,” katanya.

Pada usia 21 tahun, Daniesh sudah membuat persembahan bersama beberapa nama besar di dalam dan luar negara antaranya Bunga Citra Lestari (BCL).

“Penampilan pertama saya adalah ketika membuat persembahan bersama BCL ketika dia muncul pada satu acara konsert di Kuala Lumpur.

“Ketika itu saya sekadar mencuba nasib menyertai peraduan yang dianjurkan penyanyi Indonesia itu. Tak sangka pula nama saya terpilih dan berpeluang membuat persembahan duet bersamanya menerusi lagu Aku dan Dirimu,” katanya.

Tidak hanya bersama BCL, satu lagi pencapaian yang sentiasa melekat dalam ingatannya adalah ketika berduet bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Ketika saya dijemput berduet bersamanya pada acara ulang tahun kelahirannya dan itu adalah momen terindah buat saya sebagai pendatang baharu,” katanya.

Terkini, Daniesh dalam proses melahirkan single sulung.

“Buat masa sekarang, judulnya belum ada dan bersedia untuk dilancarkan. Ia memang lari sedikit daripada minat saya dalam muzik secara peribadi kerana lebih meminati genre balada.

“Untuk single sulung ini, saya cuba cabar kemampuan diri dan menyampaikan lagu yang bergenre berbeza iaitu pop. Jadi, saya sendiri pun tak sabar untuk melihat hasilnya,” katanya.

Yang pasti, Daniesh sentiasa berharap agar kehadirannya di dalam industri muzik diterima dengan baik oleh penggemar dan peminat muzik tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 5:30 AM