PU Riz mendakwa diugut seorang individu di laman Twitter meminta sejumlah wang semalam, namun dia mengabaikannya. FOTO Arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari


"SAYA sumpah dengan nama Allah, itu bukan foto saya!," tegas pelakon dan pendakwah muda, Haris Ismail atau PU Riz, 24.

Katanya, semalam ada seorang individu mengugutnya di laman Twitter meminta sejumlah wang tetapi dia mengabaikan saja.

"Tiba-tiba dapat tahu foto lucah yang didakwa mirip saya itu disebarkan pagi tadi," katanya kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu itu.

Susulan itu, pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa yang bakal ditayangkan hujung tahun ini, terus membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling, pagi tadi.

Peserta program Islamik Pencetus Ummah musim keempat turut menganggap kontroversi foto lucah lelaki miripnya itu sebagai cubaan untuk menjatuhkan reputasi serta maruahnya.

Berikutan itu, dia akan membawa isu berkenaan ke muka pengadilan bagi membersihkan namanya.

Awal pagi tadi, dua foto lucah menunjukkan seorang lelaki mirip pelakon itu memegang alat sulit tular di laman Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 3:58 PM