HAZAMA berbesar hati kerana berpeluang menyanyikan lagu patriotik. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Hazama, 35, berbesar hati kerana berpeluang untuk menyanyikan lagu patriotik selepas ditawarkan oleh Kementerian Pertahanan.

Lebih menarik, Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi juga menampilkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lagu berjudul Anak Bangsa Malaysia itu.

"Saya ditawarkan untuk menyanyikan dan menerbitkan lagu ini sejak sebelum Aidilfitri dan sehingga kini, proses rakaman sudah siap dijalankan.

"Sejujurnya, saya sangat berbesar hati kerana berpeluang menyanyikan lagu patriotik, lebih-lebih lagi apabila ia menampilkan Dr Mahathir dalam lagu ini," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, pihaknya kini dalam proses perbincangan untuk memulakan penggambaran video muzik Anak Bangsa Malaysia.

"Kalau ikutkan, saya nak sangat berjumpa dan menjalani penggambaran video muzik lagu ini bersama Tun. Namun, kita sedia maklum mengenai kesibukan jadualnya.

"Jadi, mungkin ia akan dihasilkan secara berasingan. Kita sama-sama lihat bagaimana keputusan untuk proses penggambaran ini nanti," katanya.

Dalam lagu itu, Hazama menyanyikan keseluruhan lagu itu dan menampilkan suara Dr Mahathir di bahagian monolog.

Lagu ciptaan Kementerian Pertahanan itu bagaimanapun belum diketahui bila akan dikeluarkan.

Terbaru, Hazama baru sahaja melancarkan video muzik single terbarunya, Peneman, hasil ciptaan komposer dan penyanyi, Tam Spider.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:12 PM