LANA Nodin bersama suami dan anak-anaknya. FOTO: Zunnur Al Shafiq
Ramlah Zainal


ANAK adalah amanah dan anugerah terindah daripada Allah buat pasangan yang berkahwin. Bagi pelakon Lana Nodin, kehadiran dua anak, Gia Quinn dan William atau Billy melengkapkan kebahagiaan rumah tangganya dan suami, Mohd Daud McKienzie.

Kata Lana, dia sanggup berkorban apa saja demi memastikan dua anaknya itu membesar dengan sebaik mungkin.

“Selepas anak kedua, Billy diuji dengan masalah jantung sebelum ini, saya sedar betapa besarnya nikmat kesihatan pada anak.


SUAMI tak halang berlakon.

“Saya bersyukur kerana kami sekeluarga berjaya melalui ujian getir itu sebelum ini berkat doa yang tidak pernah putus daripada keluarga, rakan dan peminat,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri di kediamannya di Taman Melawati, Hulu Klang, baru-baru ini.

Bercerita mengenai kesihatan Billy, Lana berkata, anak keduanya itu sudah pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan sebelum ini.

Billy menjalani prosedur rawatan ‘baloon valvuloplasty’ berikutan mengalami masalah injap sempit (aortic stenosis) di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada Februari lalu.

“Alhamdulillah, Billy sudah sihat sepenuhnya selepas pembedahan dijalankan. Ia satu keajaiban kerana pembedahan itu berjaya dan sempurna,” katanya.

Bagaimanapun, doktor turut mengesan ada kebocoran di tempat lain pula selepas pembedahan itu tetapi ia tidak berbahaya.

“Kebocoran itu tiada kaitan dengan tempat atau kesan dari pembedahan terbabit. Doktor juga beritahu, kami tidak perlu bimbang mengenai kebocoran itu, “ katanya.

Walaupun keadaan Billy sudah pulih, mereka masih memantau keadaan kesihatan Billy dari semasa ke semasa.

“Saya akan membawa Billy untuk membuat rawatan susulan pada Ogos nanti. Keadaan Billy sekarang lebih aktif dan lasak daripada kakaknya, Gia. Sebelum pembedahan dulu, Billy kurang aktif,” katanya.

RANCANG KEMBALI BERLAKON

Walaupun sibuk dengan perniagaan dan rumah tangga, Lana mengakui dia belum meninggalkan bidang lakonan. Menurut pelakon filem Biasan ini, dia masih mendapat tawaran berlakon ketika ini.

“Saya terpaksa menolak tawaran berlakon projek drama bersiri yang panjang kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen.

“Saya juga hanya mempertimbangkan tawaran membabitkan projek telefilem kerana masanya yang pendek,” katanya.


ANAK kedua Lana pulih sepenuhnya selepas jalani pembedahan berikutan masalah injap sempit.

Pada masa sama, kata Lana, suami juga tidak menghalangnya untuk meneruskan karier lakonan.

“Suami sentiasa beri sokongan pada bidang seni diceburi sejak dulu. Memang saya rindu kembali berlakon tetapi ia bergantung pada kelapangan. Maklumlah, saya juga sibuk berniaga dan menjual produk di bazar ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 4:30 AM