FOTO awal Lisa Surihani (kiri) bertudung yang dimuat naik Intan Ladyana (dua dari kanan) ketika keluar bersama Liyana Jasmay (tengah) dan rakan mereka beberapa hari lalu. FOTO Instagram Intan Ladyana
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON popular Lisa Surihani menjelaskan dia berhijab bukan disebabkan permintaan, saranan atau mengikut kehendak suaminya, pengarah juga bekas anggota kumpulan KRU, Yusry Abdul Halim.

Bintang utama filem Istanbul Aku Datang itu sewaktu ditemui di sesi rakaman program Tanya Doktor Imelda menegaskan, keputusan diambil untuk memakai hijab tidak dipengaruhi oleh sesiapa.

“Begitupun saya dapat berasakan yang suami mahu saya membuat keputusan sendiri. Yusry juga mahu saya melakukannya (berhijab) atas sebab yang betul,” katanya.

Ditanya apa kata Yusry sebaik melihat dia sudah berhijab, Lisa mengambil pendekatan untuk tidak memberi kenyataan mewakili suaminya sebaliknya menyarankan supaya ia ditanyakan sendiri kepada tuan punya badan.

Kata Lisa, dia juga tidak meletakkan pemakaian hijab sebagai sebahagian daripada fesyen mahupun gaya sebaliknya mahu tampil lebih baik berbanding sebelumnya.

“Kalau hendak diikutkan saya belum bersedia untuk berkongsi foto terkini sekembali dari Tanah Suci. Bagaimanapun mengenangkan kepada komitmen dan kerjaya seni selepas ini membuatkan saya melakukannya juga demi kerjaya.

“Alhamdulillah saya menerima banyak komen positif mendoakan yang baik. Begitupun saya tidak mahu memikirkan komen pesimis yang dimuat naik pengikut di laman sosial,” katanya.

Lisa membuat kejutan kepada peminat apabila memuat naik gambarnya berhijab selepas menghadiri sidang media sebuah aplikasi sosial di ibu kota baru-baru ini.

Spekulasi mengenai penghijrahan pelakon popular itu mulai diperkatakan apabila teman artis Intan Ladyana memuat baik foto bersama Lisa yang sudah berhijab beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 8:24 PM