FOTO Aaron dikongsi Izreen di laman Instagram miliknya. FOTO Instagram Izreen Azminda
Rudy Imran Shamsudin


DRAMATIS popular Izreen Azminda selamat melahirkan anak pertama daripada perkahwinan kedua yang diberi nama Aaron Ibrahim Muhammad Radzi, di Hospital Seri Rampai Specialist, Sabtu lalu.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Juvana itu turut berkongsi wajah Aaron di laman sosial instagram miliknya untuk tatapan peminat.

Ketika dihubungi, Izreen berkongsi pengalamannya melahirkan Aaron yang mana mengalami kontraksi pada Jumaat lalu dan berlaku sedikit pendarahan.

“Sebaik tiba di hospital, doktor terus tahan dan memaklumkan sudah sampai masa untuk saya melahirkan serta tidak boleh tunggu lama.

“Aaron selamat dilahirkan jam 1.46 pagi Sabtu lalu dengan berat 2.85 kg,” katanya.

Menurut Izreen, suaminya yang juga pemuzik Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude turut berada di sisinya.

“Saya gembira kerana sewaktu melahirkan Aaron, suami ada menemani untuk memberikan sokongan. Tidak seperti saya melahirkan anak pertama, bekas suami tidak dibenarkan masuk kerana pembedahan terpaksa dijalankan akibat situasi cemas.

“Ude sikit pun tidak rasa takut sewaktu doktor membedah perut saya. Alhamdullilah, semuanya lancar dan baik. Terima kasih buat semua yang mendoakan saya dan juga anak,” katanya.

Izreen dan Uda mendirikan rumah tangga pada Ogos 2017. Sebelum itu, Izreen bernikah dengan sutradara Muhamad Riza pada 2012 namun bercerai dua tahun kemudian.

Hasil perkahwinan terdahulu, Izreen dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Adrian Umar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 7:00 PM