NANA (kanan) bergandingan dengan Khai Bahar menerusi duet Satukan Rasa. FOTO Mahzir Mat Isa
NANA (kanan) bergandingan dengan Khai Bahar menerusi duet Satukan Rasa. FOTO Mahzir Mat Isa
Rudy Imran Shamsudin


PENYANYI popular Siti Nordiana Alias, 35, atau Nana menegaskan selagi dia dan pendatang baru semakin mencipta nama, Khai Bahar tidak berkahwin atau punya pasangan selagi itu peminat akan mengaitkan mereka bercinta.

Ditemui di majlis pelancaran lagu duet Nana dan Khai, Satukan Rasa di Kuala Lumpur, hari ini, pemenang anugerah Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH itu mengatakan dia mahupun Khai tidak boleh menghalang peminat yang mahu ‘menjodohkan’ mereka.

“Itu hak mereka untuk berbuat demikian. Saya sedari awal menyertai dunia seni sudah sedia maklum yang peminat punya hak terhadap saya.

“Saya juga berbesar hati apabila berkawan rapat dengan Khai dan melaksanakan beberapa projek bersama, peminat dia seakan merestui dan tidak pernah menjadikan ia satu isu,” katanya.

Katanya, peminat bukan sekadar menyokong tetapi seakan sayang diri mereka berdua.

“Saya sendiri kasihan juga pada Khai, apabila dia berkawan rapat tetapi kena gosip dengan wanita yang jauh lebih tua. Tapi Khai sendiri macam suka bila dia kena gosip dengan orang tua,” katanya.

Dakwaan hubungan istimewa antara Nana dan Khai hangat diperkatakan apabila penyanyi yang sedang hangat dengan lagu #123, memuat naik gambarnya di Instagram bersama wanita misteri bagi menghangatkan lagi promosi lagu Satukan Rasa.

Walaupun cuba merahsiakan wajah wanita terbabit tetapi sebahagian besar peminat tahu bahawa wanita itu adalah Siti Nordiana.

“Saya tiada niat untuk mempermainkan perasaan peminat apabila memuat naik gambar bersama wanita misteri terbabit. Peminat sebenarnya tahu yang wanita itu adalah Nana.

“Gambar itu adalah sebahagian daripada strategi untuk memeriahkan pelancaran Satukan Rasa,” kata Khai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 6:33 PM