AISHAH sedia beri kerjasama kepada mana-mana artis jika disapina. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam


"SAYA tak sangka dia boleh tulis macam itu. Tapi tak apalah," kata penyanyi Aishah mengenai status dimuat naik pengacara Jihan Muse di laman Instagram yang didakwa ditujukan kepada dirinya.

Aishah ketika dihubungi berkata, apabila sapina disampaikan kepadanya untuk hadir di mahkamah, dia patut memberi kerjasama.

Menurutnya, arahan itu bukan untuk meletakkan sesiapa di tengah-tengah krisis yang berlaku.

"Insya-Allah kalau saya berada di situasi artis memerlukan saksi, saya sedia untuk membantu dan akan datang menyokong.

"Dalam situasi sekarang, arahan menjadi sapina ini atas arahan mahkamah mengikut undang-undang. Dia patut tahu perkara ini. Lagipun arahan ini bukannya sengaja nak meletakkan dirinya di tengah-tengah krisis persis tarik tudung," katanya kepada Harian Metro.

Aishah berkata, sebagai artis wajar untuk mengubah mentaliti dalam bidang seni kepada tahap yang lebih profesional.

"Kita perlu ubah mentaliti dalam bidang seni ke tahap yang lebih profesional. Barulah ada rasa hormat peminat terhadap penggiat seni.

"Apa yang saya perjuangkan adalah untuk artis mengetahui hak dari segi undang-undang supaya mereka tidak menjadi bahan buli syarikat besar atau individu kaya," katanya.

Terdahulu Aishah memuat naik status membetulkan kenyataan pengacara Jihan Muse yang menganggap dirinya mangsa berikutan tercetusnya isu saman penyanyi itu terhadap ahli perniagaan Datuk Seri Vida.

Menerusi status sama, Aishah menjelaskan, sapina yang diperintahkan kepada Jihan adalah sebagai saksi untuk mendapatkan keterangan dalam proses perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 6:33 PM