PETALING JAYA 26 JUNE 2019. Actor, Jihan Muse during press conference Keluarga Baha Don at Paradigm Mall. NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Rudy Imran Shamsudin


PELAWAK dan pengacara terkenal Jihan Muse menjelaskan pihaknya berasakan tidak perlu memberikan sebarang komen membabitkan kenyataan yang dimuat naik berkaitan dirinya diberikan sepina bagi membantu menyelesaikan kes penipuan hadiah kemenangan penyanyi popular Aishah, dalam program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Jihan sebelum ini menggunakan bahasa kiasan dan memuat naik di laman Instagram miliknya, mendakwa dia dan beberapa pihak lagi menjadi mangsa keadaan apabila diberikan sepina bagi membantu kes mahkamah Aishah menerima hadiah barang kemas palsu yang dihadiahkan penaja program realiti GV4, Datuk Seri Vida (DSV).

Jihan dalam kenyataan dimuat naik sebelum ini secara menyindir dengan menyifatkan Aishah dan DSV adalah dua gajah sedang bergaduh dan dirinya ibarat pelanduk menjadi mangsa di tengah-tengah.

Aishah yang menyedari kiasan itu ditujukan kepada dirinya, memberikan kenyataan balas dalam laman Instagram miliknya sekali gus menjelaskan akan kepentingan sepina itu diberikan kepada pengacara dan pelawak wanita terbabit serta turut memetik nama Jihan.

Kata Jihan menerusi syarikat pengurusannya LOL Entertainment, kenyataan yang dimuat naik olehnya sebelum ini membabitkan isu antara Aishah dan DSV, tidak sepatutnya diperkatakan lagi.

“Bukankah kes sudah selesai, jadi saya tidak rasa harus memberikan sebarang kenyataan membabitkan kata-kata yang dimuat naik di Instagram sebelum ini.

“Lagipun kata-kata yang saya muat naik ini sudah lama dan ia tidak lagi relevan untuk diperkatakan apabila kes sudah selesai,” katanya.

Tegas Jihan lagi, dia bimbang andai mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan perkara itu akan disalah tafsir sekali gus mengeruhkan lagi keadaan dan hubungannya dengan mana-mana pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 6:41 PM