CATWOMEN.
Ridzuan Abdul Rahman


FILEM adiwira yang diadaptasi daripada komik selalunya mencatat kutipan pecah panggung apabila ditayangkan.

Tidak dinafikan penggemar adiwira memang ramai di seluruh dunia. Buktinya, filem adiwira terutama terbitan Marvel Studios seperti Avengers : Endgame, Avengers : Infinity Wars dan Black Panther mencatat kutipan tinggi.

Bagaimanapun, tidak semua filem berkenaan mendapat sambutan hebat dan menerima pujian, ada juga sebaliknya.

Berikut disenaraikan 10 filem adiwira yang dianggap buruk dan gagal menarik penonton di pawagam.

Walaupun membariskan pelakon terkenal, beberapa kelemahan yang ada terutama skrip yang longgar dan lakonan lemah mungkin menjadi faktor filem terbabit gagal.

Catwoman (2004)

Catwoman adalah watak fiksyen dalam komik Amerika Syarikat terbitan DC Comics yang biasanya berkaitan dengan Batman.

Filem ini diarahkan Pitof yang tidak pernah mengarah filem cereka sekali gus membuatkan filem ini sangat teruk.

Catwoman menampilkan Halle Berry sebagai pelakon utama sebelum dia berjaya dengan watak Storm dalam siri filem X-Men.

Kostum Catwoman yang dianggap terlalu seksi, plot membingungkan serta pembentukan imej janaan komputer (CGI) yang kasar membuatkan filem ini nampak tidak sempurna.

Watak Catwoman turut diketengahkan dalam filem The Dark Knight Rises lakonan Anne Hathaway.

Fantastic Four (2005)

Sebelum Chris Evans mencipta populariti sebagai Captain Amerika, dia terlebih dulu dikenali sebagai Human Torch menerusi filem ini yang dilihat terlalu berunsurkan komik.

Filem arahan Tim Story yang turut menampilkan Loan Gruffudd, Jessica Alba, Michael Chiklis, Julian McMahon and Kerry Washington dilihat cuba mempelbagaikan kisah dramatik adiwira bagi menarik penonton.

Watak yang ditampilkan bagaimanapun gagal menarik penonton untuk memberikan sokongan.

Batman V Superman : Dawn of Justice (2016)

Ramai yang ternanti-nantikan filem ini kerana ia pertama kali menggabungkan dua watak adiwira paling ikonik, Batman dan Superman dalam satu filem.

Filem terbitan DC Entertainment ini adalah dalam usaha menyaingi kejayaan Marvel Studios yang sering berjaya dengan filem adiwira mereka.

Filem ini menampilkan barisan pelakon ternama iaitu Ben Affleck, Henry Cavill, Amy Adams, Jesse Eisenberg, Diane Lane, Laurence Fishburne, Jeremy Irons, Holly Hunter dan Gal Gadot.

Melihatkan pada senarai nama, diakui penerbit dan pengarahnya cuba menghasilkan sebuah filem yang baik.

Bagaimanapun, hasilnya agak mengecewakan kerana skrip tulisan Chris Terrio dan David S. Goyer ini agak kelam-kabut dan kurang kemas.

Paling melucukan apabila pertarungan hebat di antara Batman dan Superman boleh terhenti kerana nama kedua-dua ibu mereka sama.

Green Lantern (2011)

Green Lantern adalah antara adiwira DC Comics yang paling terkenal.

Filem arahan Martin Campbell ini adalah filem superhero Amerika Syarikat berdasarkan watak buku komik dengan nama sama muncul pada komik terbitan DC.

Filem tulisan Greg Berlanti ini menampilkan Ryan Reynolds sebagai pelakon utama bernama Hal Jordan.

Pelakon lain ialah Mark Strong, Blake Lively dan Peter Sarsgaard. Sayangnya, ketika diadaptasi menjadi sebuah filem, Green Lantern dianggap gagal.

Ia tidak mampu memenuhi piawaian peminat yang mahu melihatnya menjadi sebagai sebuah filem adiwira terbaik.

Bagaimanapun, karier Reynolds sebagai watak adiwira terselamat apabila dia mengambil keputusan membintangi filem terbitan Marvel Studios iaitu Deadpool.

Justice League (2017)

Filem arahan Zack Snyder ini menampilkan Ben Affleck, Henry Cavill, Gal Gadot, Jason Momoa, Ezra Miller, Ray Fisher, Amy Adams, Willem Dafoe, Jesse Eisenberg, Jeremy Irons, Diane Lane, Connie Nielsen, Ciaran Hinds dan J K Simmons.

Hampir semuanya adalah nama besar dalam industri filem Hollywood.

Dalam Justice League, Batman dan Wonder Woman bergabung dalam satu kumpulan bersama Flash, Aquaman dan Cyborg untuk menghadapi Steppenwolf dan pasukan Parademons.

Lakon layar beberapa pelakon dan konsep lakonan satu dimensi tidak memberikan impak yang sewajarnya terhadap filem ini sehingga kurang diminati peminat.

Daredevil (2003)

Filem arahan Mark Steven Johnson ini turut menampilkan Ben Afflek sebagai adiwira.

Ben sememangnya mempunyai kerjaya hebat sebagai adiwira dan sekarang menyerlah menerusi Batman terbitan DC.

Kemunculannya menerusi filem ini pada 2003 agak kurang meyakinkan dan sekali gus menampakkan filem ini tidak mempunyai reputasi yang hebat.

Colin Farrell yang melakonkan watak penjahat dikatakan lebih menyerlah berbanding Ben.

Ghost Rider: Spirit of Vengeance (2011)

Filem arahan Mark Neveldine dan Brian Taylor ini diharapkan mendapat sambutan menggalakkan bagi mengubati kekecewaan akibat kegagalan filem pertamanya pada 2017.

Bagaimanapun filem yang menampilkan Nicolas Cage, Ciarán Hinds, Violante Placido, Johnny Whitworth, Christopher Lambert dan Idris Elba ini sekali lagi mengalami kegagalan.

Malah, ia lebih teruk daripada filem pertama dan mendapat kutipan yang terlalu rendah.

Batman & Robin (1997)

Filem arahan Joel Schumacher ini menampilkan Arnold Schwarzenegger, George Clooney dan Chris O’Donnell.

Dikeluarkan pada 1997, Batman & Robin diharapkan mampu meneruskan kejayaan dua filem Batman sebelumnya yang dibintangi Michael Keaton.

Namun, malangnya filem ini menjadi filem Batman terburuk sepanjang masa kerana beberapa babak yang kurang logik.

Mujurlah filem Batman yang diarahkan Christopher Nolan selepas itu mampu memulihkan nama baik Batman.

Elektra (2005)

Elektra adalah filem ‘spin-off’ daripada Daredevil yang dibintangi Ben Affleck pada 2003. Ia menjadi filem adiwira wanita pertama daripada Marvel Studios.

Populariti Jennifer Garner ketika itu membuatkan dia menjadi pilihan pengarah Rob Bowman bagi membawakan watak utama.

Pelakon lain ialah Goran Visnjic dan Will Yun Lee.

Malangnya, Elektra dikritik habis-habisan oleh pengkritik filem dan peminat kerana skripnya yang longgar serta kegagalan Jennifer melakonkan wataknya dengan baik.

Supergirl (1984)

Selepas Superman, filem arahan Jeannot Szwarc ini dihasilkan bagi menonjolkan kewibawaan wanita.

Barisan pelakonnya ialah Faye Dunaway, Helen Slater, Hart Bochner, Peter Cook, Mia Farrow, Marc McClure, Brenda Vaccaro dan Peter O’Toole.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 4:30 AM