ALONG Eyzendy.
Norhayati Nordin


TIGA tahun aktif sebagai pelakon, cukup membuatkan Along Eyzendy, 41, puas apabila sudah membintangi 20 filem dalam tempoh itu.

Pemilik nama sebenar Mohd Eyzendy Mohd Aziz ini berkata, kini sudah tiba masa untuk dia kembali semula pada minat asalnya sebagai pelakon teater.

“Sebelum buat keputusan untuk cuba berlakon drama dan filem dulu, saya sudah menceburi aktiviti pementasan teater. Saya menimba ilmu di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 2002, jadi jiwa pada berlakon teater itu diserap lebih awal.

“Cuma, disebabkan timbul minat mahu cuba luaskan bakat lakonan pada drama dan filem akhirnya membuatkan saya sanggup berpaling arah seketika,” katanya.

Menurut Along, dengan pengalaman beberapa tahun ditimba sebagai pelakon di arena arus perdana, sudah cukup buatnya memahami permainan industri hiburan.

Kini menjadi pensyarah di ASWARA untuk Teater Tradisional Makyong, Along berkata, dia semakin menikmati kehidupan lebih tenang.

“Walaupun saya ada tugas tetap sebagai tenaga pengajar di ASWARA, aktiviti lakonan tetap diteruskan. Cuma, tidaklah sesibuk dahulu.

“Sekarang, dapat dua tawaran berlakon drama atau telefilem dalam sebulan pun, alhamdulillah syukur. Ini kerana komitmen utama saya adalah mengajar.

“Saya seronok, selesa dan tenang menjadi pensyarah. Rasa sangat berbaloi dapat berkongsi dan menyalurkan ilmu pada generasi muda pelapis penggiat seni negara,” katanya.

Namun, untuk karier lakonan teaternya Along akan menjayakan pementasan Neo Disiden, naskhah skrip hasil tulisan Siti Jasmina Ibrahim.

Melakonkan watak Ketua Lapan Puak yang berjuang untuk pemberontakan, Along berkata, ia watak menarik yang mencabar buatnya.

“Saya tertarik dengan karya Neo Disiden ini kerana minat mendalam pada berlakon teater yang begitu memberi kepuasan. Umpama balik semula ke pangkal jalan,” katanya.

Neo Disiden diarahkan Khairunazwan Rodzy dan dipentaskan di Panggung Eksperimen ASWARA pada 19 hingga 21 Julai ini bermula jam 8.30 malam.

Selain Along, ia turut membariskan pelakon seperti Amirul Affendi, Taiyuddin Bakar, Mustaqim Mohamed, Hairi Safwan, Rosden Suboh dan Kirin Muhamad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 5:00 AM