KUMPULAN MAY (dari kiri) dianggotai Yus, Man, Mus dan Abu.
Ridzuan Abdul Rahman


ANGGOTA kumpulan MAY menafikan berlaku perselisihan faham di antara mereka yang membawa kepada pengunduran penyanyinya Mus, baru-baru ini.

Pemain dram, Mohamad Saarip Yaakob, 54, atau Man berkata, mereka akur dengan keputusan Mus itu.

“Sebenarnya tiada apa-apa yang berlaku dalam MAY, cuma Mus tarik diri disebabkan faktor kesihatan.

“Dia tak mampu lagi nak menyanyi untuk konsert berdurasi satu jam. Kalau menyanyi lima lagu dia okaylah, tapi itu pun dia pilih lagu-lagu yang dia mampu bawakan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sebagai sahabat baik dan rakan sekampung, mereka menerima baik alasan yang diberikan Mus.

“Anggota MAY kena terima dan reda apa keputusan yang dibuatnya kerana dia yang merasakan kesakitan, bukannya kami. Masalah lain memang tidak ada dan kalau ada cerita yang kurang enak, itu memang tak betul.

“Kami masih akrab seperti dulu dan saya akan berjumpanya dalam masa terdekat, ini,” katanya.

Khamis lalu, Mus, 51, mengumumkan sudah menarik diri dari kumpulan itu sejak Januari lalu selepas mengambil kira keadaan kesihatannya yang kurang mengizinkan.

Julai tahun lalu Mus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat demam panas berpanjangan sebelum koma selama sembilan hari.

Man berkata, bagaimanapun dia mengakui Mus melakukan kesilapan tidak sepatutnya kerana terlalu lambat mengumumkan pengunduran itu.

“Dia sepatutnya beritahu awal selepas kami selesai menjayakan Konsert Metal Return 1.0 Live XPDC MAY di Ipoh pada Disember lalu. Jadi tidaklah kami tertanya-tanya kenapa dia terus menyepi selama tujuh bulan. Mungkin dia berat hati kerana memikirkan hati kawan-kawan,” katanya.

Man berkata, perjuangan MAY akan diteruskan dengan penyanyi baru yang sudah pun mereka pilih.

“Penyanyi ini mempunyai kredibiliti sendiri dan mampu beraksi dalam konsert lebih sejam. Orangnya berusia lebih 30-an dan kami akan umumkan selepas ini. Dia memang berpengalaman dan pernah ada kumpulan sendiri,” katanya.

Selain Mus dan Man, MAY yang ditubuhkan di Ipoh pada 1986 turut dianggotai Abu (gitar) dan Yus (bass). Mereka diiktiraf antara kumpulan rock terbaik era 1980-an dan popular dengan lagu seperti Sendiri, Cintamu Mekar Di Hati, Pelayaran, Dari Kaca Mata, Sketsa Sebuah Cinta dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 11:22 AM