REMY ISHAK
Syanty Octavia Amry


TERHARU diberi kepercayaan melakonkan watak komedi dalam drama bersiri Keluarga Baha Don, pelakon Remy Ishak berharap arena komedi di Malaysia akan terus berkembang.

Ini kerana menurut Remy jarang drama komedi seperti itu dipersembahkan kepada penonton.

“Tidak saya nafikan Keluarga Baha Don adalah sebuah naskhah komedi yang bertaraf antarabangsa.

“Selain skripnya bagus, pelakon-pelakon yang ditampilkan juga hebat.

“Walaupun cerita ini ditayangkan secara online saya berharap naskhah sebegini dapat diangkat ke kaca TV,” katanya.

Berkongsi wataknya dalam drama 10 episod itu, Remy memegang watak sebagai Jo Don seorang anak keluarga mafia iaitu Baha Don.

Drama itu turut menampilkan Namron, Sabri Yunus, Susan Lankester, Khir Rahman, Jihan Muse dan ramai lagi. Ia bakal menemui penonton di Viu mulai 11 Julai ini.

Dalam pada itu, Remy tidak menolak diberikan lagi watak komedi kerana sekurang-kurangnya dapat mempelbagaikan watak dan tidak hanya tampil sebagai hero dan karakter serius.

“Saya tidak menolak jika ditawarkan watak komedi pada masa akan datang tetapi kenalah tengok skripnya terlebih dahulu selain pengarah dan pelakon yang terbabit.

“Bagi saya satu pengalaman baharu apabila melakonkan watak komedi dan membawa saya ke tahap yang berbeza daripada sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Remy juga bakal sibuk di lokasi penggambaran drama Ombak Rindu.

Drama empat episod itu menggandingkan Remy bersama Izara Aishah yang membawa watak Izzah.

Tidak mahu ada yang membandingkan dia dengan Datuk Aaron Aziz, Remy berkata jalan ceritanya juga berbeza.

“Ombak Rindu Series adalah sequel filem Ombak Rindu. Masih mengekalkan Osman Ali sebagai pengarah tetapi jalan ceritanya berbeza dan tidak ada kena mengena dengan filem asal,” katanya.

Selain Remy, Ombak Rindu Series yang akan ditayangkan di Iflix turut menampilkan pelakon

lain seperti Datin Diana Danielle, Hana Aqeela, Fahrin Ahmad dan Uqasha Senrose.

Melihat tawaran diterima lebih banyak kepada tayangan untuk online kebelakangan ini, Remy berkata, dia menerima apa saja tawaran yang datang.

“Saya tidak kisah berlakon untuk mana-mana tayangan sekalipun asalkan skripnya menarik dan selesa untuk saya bawakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 7:05 AM