ELLY kini selesa melebarkan sayap seninya sebagai pelawak. FOTO/NSTP
Syafil Syazwan Jefri


SATU cabaran yang boleh dianggap besar dalam seni adalah menterjemahkan jenaka yang mampu mencuit hati setiap mata yang menonton.

Jika berlakon dan menyanyi punya cabaran tersendiri, mereka yang bergelar pelawak juga sebenarnya berhempas pulas mencari idea untuk memastikan aksi mereka akan berjaya membuat orang ketawa.

Bagi pelakon, penyanyi dan pengacara Elly Mazlein, dia kini selesa melebarkan sayap seninya sebagai pelawak.

Terbaru, Elly menjadi salah seorang peserta program realiti komedi terbaru, Muzikal Lawak Superstar (MLS) bergandingan dengan dua pelawak yang tak kurang hebat dalam industri, Bell Ngasri dan Rahim Sepahtu.

Bagi Elly yang selesa disapa dengan panggilan Kak Lina, percaturan pertamanya dalam program realiti berbentuk pertandingan itu adalah satu langkah yang benar-benar mencabar kemampuannya.

"Alhamdulillah, setakat ini saya sangat berpuas hati dengan persembahan kumpulan kami di pentas MLS. Sejujurnya, semua kumpulan yang berada dalam program ini punya kekuatan masing-masing," katanya.

Bercerita mengenai kolaborasi dengan Bell dan Rahim dalam membentuk kumpulan digelar Libra, Elly berkata dia bersyukur kerana mereka serasi dan dapat bekerjasama dengan baik.

"Alhamdulillah, kami sekepala. Selesa bekerja dengan Bell kerana dia sangat komited.

"Rahim pula, ini gandingan pertama kami. Apa yang boleh saya katakan, kami curahkan pelbagai idea untuk persembahan dan akan memilih yang terbaik," katanya.

Dia juga berterima kasih kepada dua rakan sekumpulannya yang sentiasa mahukan yang terbaik dalam melunaskan tanggungjawab masing-masing.

"Selain keserasian yang mudah diwujudkan, saya juga berterima kasih kepada mereka kerana sangat komited dengan bertanggungjawab.

"Meski sibuk dengan komitmen kerja lain, masing-masing fokus dengan pertandingan ini dan berlatih untuk memastikan persembahan di atas pentas lancar,” katanya.

Ditanya sama ada penyertaan dalam program itu mengganggu jadual hariannya, Elly menjelaskan dia sudah menyusun semuanya agak sentiasa teratur.

"Saya sudah susun semuanya dengan baik dan Insya-Allah, semuanya akan berjalan lancar. Apa yang boleh saya katakan, jadual untuk latihan dan sebagainya tidak mengganggu jadual kerja saya.

"Lagi pula, saya pun jenis yang tidak ambil banyak tawaran dalam satu masa kerana bimbang tak terkejar,” katanya.

Terbaru, Elly menjalani penggambaran drama bersiri Kau Yang Pertama, bergandingan dengan Fikry Ibrahim dan Farah Nabilah.

"Selain MLS, saya terikat dengan penggambaran drama bersiri Kau Yang Pertama yang akan ditayangkan di TV3 tidak lama lagi. Selain itu, ada juga beberapa tawaran drama lain yang saya terima dan masih dalam perbincangan.

"Alhamdulillah, jadual saya juga sudah penuh sehingga penghujung tahun ini. Lebih membuatkan saya teruja adalah apabila ditawarkan untuk mengacarakan satu program berskala besar tidak lama lagi," katanya.

Elly mengharapkan agar langkahnya dalam dunia komedi akan diterima dengan baik peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 6:20 AM