RITA tidak mahu tunjuk kesedihan kepada anak apabila berdepan masalah.
RITA tidak mahu tunjuk kesedihan kepada anak apabila berdepan masalah.
Ramlah Zainal


BIDANG seni sudah sebati dengan jiwanya sejak lebih dua dekad lalu. Malah, kata pelakon popular, Rita Rudaini, 43, bidang lakonan periuk nasinya untuk menyara dua anak, Airit Rayyan Rizqin, 10 dan Airit Rafqa Arjuna, 8, sejak bergelar ibu tunggal.

“Sudah lapan tahun saya membesarkan dua anak sebagai ibu tunggal. Saya bekerja keras siang dan malam demi memastikan dua anak dapat pendidikan yang terbaik dan hidup dengan lebih selesa.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana segala urusan membesarkan anak dan karier seni dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Rita berkata, dia juga tidak suka menunjukkan kesedihan apabila berdepan masalah kepada dua anaknya itu.

“Terus terang, saya tidak suka menangis depan anak kerana mahu mereka anggap ‘mummy’ adalah hero mereka.

“Saya menangis bukan kerana diri ini lemah sebaliknya perlu meluahkan kesedihan itu untuk meneruskan kehidupan. Selalunya, saya akan masuk bilik air pada waktu malam untuk menangis dan meluahkan kesedihan yang dipendam,” katanya.

Bagaimanapun, kata Rita, dia juga sering bercerita kepada dua anak ada masanya dia juga menangis kerana berasa sedih dan penat jika mereka buat perangai.

“Apabila saya bercerita, anak faham dan mereka juga menangis sambil memeluk saya. Saya juga beritahu mereka tidak boleh buat saya berasa tertekan kerana jika sakit saya tidak boleh bekerja dan siapa mahu menjaga mereka?,” katanya.

REZEKI TAK PERNAH PUTUS

Berbanding artis seusianya, Rita bersyukur kerana masih menjadi pilihan penerbit dan stesen TV untuk tampil sebagai heroin drama serta telefilem.

“Tawaran berlakon tidak pernah putus sampai sekarang. Cuma, saya lebih selektif soal watak kerana mahu pastikan ia meninggalkan kesan kepada penonton. Jika watak itu tiada kelainan dan sama saja, lebih baik saya luangkan masa berkualiti bersama anak.

“Saya juga tidak ambil sebarang tawaran Ramadan lalu kerana mahu meluangkan masa dengan keluarga,” katanya.

Rita berkata, dia baru selesai menjayakan baki penggambaran beberapa projek drama baru-baru ini.

Antaranya, drama Empat Penjuru dan dua projek telefilem apabila satu daripadanya arahan Rashid Sibir.

Dalam perkembangan lain, Rita menganjurkan pakej umrah bersama dengan Raza Holidays bermula 21 November hingga 01 Disember nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 5:00 AM