HAFIZ Hamidun tidak melatah setiap kali dikaitkan dengan nama bekas isterinya itu. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan komposer, Hafiz Hamidun, mengakui belum merancang untuk menamatkan zaman dudanya dan tidak pernah bersaing dengan bekas isterinya, Joy Revfa bagi mencari pengganti.

Menurut Hafiz, 35, dia juga berharap bekas isterinya yang juga usahawan kosmetik itu dipermudahkan segala urusannya.

"Buat masa sekarang, saya belum merancang untuk menamatkan zaman duda lagi. Siapa dulu yang bertemu jodoh, tak menjadi masalah.

"Kalau dia bertemu jodoh terlebih dahulu, Alhamdulillah. Insya-Allah, jalannya lebih mudah selepas ini kerana semuanya sudah selesai dan ada dokumentasi lengkap," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada Hafiz mula mengenali mana-mana wanita yang mencuri hatinya, katanya, dia berkawan dengan ramai orang.

"Untuk saya, tunggu dulu kerana buat masa sekarang berkawan dengan ramai orang," katanya.

Hafiz juga tidak melatah setiap kali dikaitkan dengan nama bekas isterinya itu.

"Saya tak kisah pun. Pada saya, kalau orang masih nak mengaitkan saya dengannya, okey saja sebab memang kami ada sejarah bersama.

"Cumanya, bila orang minta untuk mengulas mengenai dia dan kekasihnya, saya tak boleh komen apa-apa kerana itu jodoh dia.

"Saya pun tak mahu dia selama-lamanya menjadi ibu tunggal. Kami dah dapat hak masing-masing dan semuanya selesai dengan cara baik. Harapnya, tidak ada orang yang melaga-lagakan kami lagi," katanya.

Hafiz dan Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin berkahwin pada 1 Mei 2017 dan bercerai pada 25 Oktober 2017.

Terbaru, Hafiz menghasilkan lagu baru berjudul Starlela yang dinyanyikan oleh Ifa Raziah, Zizi Kirana dan Bella Astillah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 7:04 PM